‘Sumpah terkejut Uqasha fail cerai, ingatkan bahagia’

KEPUTUSAN nekad pelakon Uqasha Senrose memfailkan perceraian terhadap suaminya, Kamal Adli mengundang pelbagai respons daripada netizen dalam media sosial hari ini.

Rata-rata peminatnya mengakui terkejut dengan perkara tersebut kerana menyangka pasangan itu bahagia dalam melayari bahtera rumah tangga.

Segelintir netizen bagaimanapun sudah mengesyaki rumah tangga pasangan berkenaan dilanda badai apabila Uqasha atau nama penuhnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen atau lebih, 33, beberapa kali membuat luahan hati dalam siaran langsung TikTok baru-baru ini.

“Sumpah terkejut baca Uqasha fail cerai, maknanya dia menangis baru-baru ini nak beri bayangan ke?

“Harap ada penyelesaian yang baik, rumah tangga tak bahagia setiap hari dan ada pasang surut.

“Ingatkan bahagia, tak sangka tiba-tiba Uqasha failkan cerai.

“Selama ini jarang kongsi hal rumah tangga sebab bahagia tapi lain pula jadi.

“Selepas Nubhan, kali ini Uqasha pula, Allahuakhbar!” komen netizen.

Hari ini, Uqasha hadir ke prosiding pertama kes perceraiannya dengan Kamal namun terpaksa ditangguh ke tarikh baharu iaitu 28 Oktober depan apabila Kamal tidak muncul di mahkamah.

Menurut peguam syarie mewakilinya, Nurfarhana Abd. Manaf, Uqasha memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman dengan Kamal.

Difahamkan, mereka juga tidak tinggal sebumbung namun tidak dimaklumkan sejak bila.

Sejak minggu lalu, rumah tangga Uqasha dan Kamal menjadi bahan buah mulut ramai selepas aktres itu beberapa kali membuat siaran langsung meluahkan rasa penat menjaga anak tetapi dalam masa sama perlu bekerja.

Sementara Kamal pula dalam satu hantaran menegaskan dia tidak pernah mengabaikan keluarga dan sangat menyayangi Uqasha serta anak perempuan mereka, Hawra Uqaira.

Terdahulu, Uqasha dan Kamal selamat bergelar suami isteri pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang.

Pasangan itu kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira pada April tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok