Hausboom 2025 bukan hiburan ‘kosong, medan renungan jiwa

LAUNGAN ‘Free Palestine’ bergema di segenap pelosok Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang lokasi berlangsung fiesta muzik dan gaya hidup, Festival Hausboom 2025, hujung minggu lalu.

Biar pada sebelah malam iaitu hari pertama MAEPS didatangi ‘hujan lalu’ selama dua minit ketika kumpulan Dolla beraksi, cuaca mengejut tidak membuatkan penonton berundur.

Trio sensasi dianggotai Tabby, Angel dan pengantin baharu, Sabronzo menyampaikan lagu Watch Me Glow selain berkongsi teaser single baharu, sebelum mendendangkan lagu Classic yang memanaskan lagi panggung.

Disaksikan lebih 3,000 pengunjung, ketiga-tiga wanita itu tampil energetik selain tidak ketinggalan menghadiahkan anak patung kepada penonton bertuah.

Menyusul selepas itu K-Clique yang membikin semakin ramai peminat meluru memenuhi ruang hadapan pentas, bahkan laungan ‘Free Palestine’ sebagai tanda solidariti terhadap Gaza disambut gemuruh.

Tidak mengecewakan ramai, MK bersama rakan-rakannya memilih seleksi popular seperti Pulang, Kembali dan or7, sekali gus meningkatkan graf momentum festival muzik tahunan itu.

Begitu juga dengan kumpulan yang ditubuhkan sejak 10 tahun lalu, Insomniacks apabila memilih untuk mengingatkan ramai tentang rakyat Palestin menerusi laungan sama.

Sambil berhibur mereka tidak melupakan tanggungjawab sosial serta peka dengan nasib penduduk Palestin yang dizalimi Israel dan rejim Zionis.

Antara persembahan lain yang ‘mengikat’ khalayak adalah aksi band otai, Spider yang tetap bertaring sekali gus mampu memenuhi selera peminat yang rata-rata terdiri daripada Gen Z.

Nyata biarpun seleksi hit seperti Laukku Cukup Masin, Aladin dan Relaku Pujuk, penonton muda lancar berdendang bersama vokalisnya, Tam yang menunjukkan populariti bingkisan malar segar Spider.

Penyanyi Indonesia, Feby Putri pula melengkap malam pertama Festival AirAsia Hausboom 2025 bersama Usik, Halu, Kembali Pulang dan Runtuh sebelum maestro muzik, Datuk M. Nasir menutup pentas dengan bergaya menyampaikan Apokalips dan Tanya Sama Itu Hud Hud.

Pada sebelah siang hari pertama, antara barisan penyanyi adalah TT.13, Loko, The Rudean, Beenzooloo, Def Geb C, Salammusic, Nadif Basalamah, No Good serta Kunto Aji.

Malam kedua

Pada malam kedua, gegak gempita MAEPS Serdang bermula sebaik kumpulan Bunkface melangkah ke pentas.

Lagu Highschool Rocker membuka tirai diikuti dendangan Silly Lilly dan Ekstravaganza, aura punk-rock mereka terus membakar semangat ribuan penonton yang melompat tanpa henti.

Ketika lagu Soldier dan Kita Perang Kita Menang berkumandang, vokalis kumpulan terbabit iaitu Sam tampil membalut tubuhnya dengan bendera Palestin sebagai tanda solidariti.

Lagu Darah Muda, Situasi dan Revolusi disusuli berturut-turut seolah-olah manifesto kebebasan yang menegakkan idealisme tanpa slogan kosong.

Tenaga Bunkface mencipta gegaran awal malam, namun suhu emosi terus mendidih apabila kumpulan 6ixth Sense mengambil alih pentas.

Gaya persembahan mereka yang lebih melankolik membawa dimensi baharu kepada festival itu, daripada lonjakan adrenalin kepada renungan jiwa.

Lagu Tanpa membuka ruang galau, sebelum Khatimah Cinta membuatkan audiens hanyut dalam nostalgia cinta dan takdir.

Yang Sempurnakanku, Menyesal, Tak Bisa MemilihmuHari Ini dan Semalam dilunaskan dengan vokal Adi yang masih teguh, membuktikan mereka kekal relevan meski usia bukan lagi muda.

Sorakan memuncak apabila Ratu Rock Malaysia, Ella muncul di pentas. Lagu Permata Biru membuka tirai persembahan dengan gaya rockers sejati, diikuti Sepi Sekuntum Mawar Merah, Sembilu dan Rama-Rama.

Ketika lagu Standing in the Eyes of the World dan Gemilang bergema, Ella menzahirkan dedikasi khas buat Palestin menjadikan pentas rock itu bukan hanya hiburan tetapi wadah kemanusiaan.

Bukan hanya Ratu Rock, Raja Pop Datuk Jamal Abdillah juga turut hadir yang memanaskan suasana dengan aura legenda yang tidak tergugat zaman menerusi lagu Aku Maafkan Kamu, Kekasih Awal dan Akhir serta Aku Penghibur.

Ketika lagu Gadis Melayu dan Azura berkumandang, suara audiens bergema melumati setiap lirik seiring meraikan legenda yang menjadi lambang kemegahan industri seni tanah air.

Konsert terus memuncak apabila bintang dari seberang, Bernadya tampil dengan vokal ‘sendu’ dan gaya bersahaja yang cemerlang menghipnotis penonton melalui lagu Lama-Lama, Kita Kubur Sampai Mati dan Kata Mereka Ini Berlebihan.

Konsert diteruskan dengan lagu Berlari, Masa Sepi dan Terlintas memperlihatkan sisi eksperimental muziknya, manakala alunan Satu Bulan dan Untungnya Hidup Harus Tetap Berjalan serta Apa Mungkin mengajar audiens tentang ketabahan manusia.

Festival sarat hiburan itu ditutup dengan persembahan Noh Salleh yang muncul dengan ‘vibes’ lelaki eksentrik yang tidak pernah jinak dengan konvensi.

Persembahannya bermula dengan Mr. Polia dan Bisikan sebelum meluncur kepada Nirmala, Sang Penikam dan Bunga di Telinga.

Setiap lagu dibalut dengan warna eksentrik yang menjadi tanda tangan artistiknya. Rahsia Tuhan dan Angin Kencang menutup malam dengan ledakan muzik avant-garde yang menggugah jiwa.

Seperti hari pertama, pesta sebenar bukan hanya di malam hari. Sejak petang, pentas sudah dimeriahkan Slatan, Spooky Wet Dreams, Johnny Comes Lately, Lucidrari, Margasatwa, Fugo, Gerhana Ska Cinta, Ghea Indrawari, Slam dan Samsons.

Gabungan rentak rock, ska, alternatif dan pop menjadikan festival terbabit bukan hanya perayaan muzik malah pertembungan budaya dan jiwa Asia Tenggara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok