SIAPA sahaja yang tidak risau apabila tarikh konsert yang dirancang berbulan lebih awal tiba-tiba berhadapan dengan situasi ‘lockdown’.
Itulah yang dirasai kumpulan Spider apabila konsert Spider Unplugged yang dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober ini bakal ‘naik saksi’ ketika Kuala Lumpur (KL) berdepan perintah ‘lockdown’ sempena persidangan ASEAN ke-47 yang berlangsung dari 23 hingga 28 Oktober.
Bukan sekadar kerisauan sendiri, peminat bahkan sudah meluahkan kebimbangan seandainya terpaksa melalui kesulitan untuk ke konsert yang bakal berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur tersebut.
Hendak ditunda, tiket juga sudah terjual sebanyak 70 peratus, malah persiapan juga sudah 90 peratus tersedia. Tinggal lagi, menjayakan persembahan sahaja.
Namun keempat-empat anggota Spider iaitu Tam (vokalis), Aie (dram), Pown (gitar) dan Is ( gitar best) harus tetap melaksanakan tanggungjawab mereka menghiburkan para peminat meskipun diselubungi kerisauan.
“Sejujurnya situasi ini sangat merisaukan kami. Peminat-peminat sudah mula mengadu.
“Peminat dari Kuala Lumpur mungkin mereka sudah tahu macam mana nak cari jalan, tetapi peminat-peminat dari luar negeri mungkin akan alami kesukaran.
“Kami harap mereka semua akan dapat mencari solusi bagaimana untuk hadir ke lokasi konsert nanti,” kata Aie.
Tambahnya lagi, situasi ini juga mungkin akan menganggu penjualan tiket untuk peminat yang ingin membeli secara ‘walk-in’ memandangkan tiket masih berbaki 30 peratus untuk dihabiskan.
Sementara itu, bagi vokalis Spider iaitu Tam, walau apa jua yang berlaku, persembahan tetap harus diteruskan.
“Tak kisah apa sahaja yang berlaku pada hari itu, the show must go on. Sekarang ini apa yang paling merisaukan saya adalah kesihatan kami semua.
“Di saat virus Influenza A semakin menular kita semua harus berjaga-jaga supaya tidak jatuh sakit. Kami cuma berharap yang terbaik dan bersedia untuk sebarang kemungkinan.”
“Mungkin kalau bukan Tam yang menyanyi, Trump yang akan menyanyi pada malam itu,” katanya berseloroh.
Bakal mempersembahkan 23 buah lagu secara unplugged, kata Spider memang menjadi impian mereka untuk mengadakan konsert secara ‘unplugged’.
“Jarang kita tengok konsert ‘band’ dibuat secara unplugged. Kalau ada pun lama dulu seperti kumpulan Slam dan Search. Jadi sebab itulah jugalah kami rasa kenapa tidak kami lakukan konsert ini secara unplugged.
“Ini merupakan satu kelainan yang akan kami persembahkan kepada peminat. Sesuatu yang sangat menarik yang mungkin peminat belum pernah lihat dan dengar,” kata Pown.
Menambah kenyataan Pown, Tam pula berkata, konsert tersebut bakal menjadi sesuatu yang istimewa buat peminat Spider.
“Spider akan berikan ‘treatment’ istimewa untuk peminat yang hadir. Kalaulah saya yang duduk di tempat peminat, rugi rasanya kalau tak datang.
“Saya sendiri bila dengar susunan muzik untuk konsert ini saya rasa sesuatu yang berlainan.
“Kalau nak tengok sisi lain Spider, inilah masanya. Masa akan datang kita tak tahu sama ada kita boleh buat macam ni lagi ataupun tidak,” kongsinya.
Melihatkan sambutan hangat yang diberikan peminat sewaktu konsert Spider Keluar Sarang yang dianjurkan tahun lalu di Zepp Kuala Lumpur, Spider akui gementar untuk membuat persembahan di lokasi yang lebih besar seperti Mega Star Arena.
“Perasaan gementar itu perkara biasa bagi setiap artis. Kami sendiri melaluinya setiap kali nak buat persembahan.
“Ada yang rasa sesuatu di dalam perut, ada yang makan pisang pun tak habis dek perasaan gemuruh,” kongsi Tam.