PETALING JAYA – Aktres Nabila Huda mengakui dia hilang minat untuk bersosial kerana rimas dengan sikap manusia dan kandungan media sosial segala sejak kebelakangan ini.
Nabila, 40, berkata, perkara tersebut membuatkan dia berasa tidak berminat untuk mengambil tahu semua yang berlaku di sekelilingnya.
“Tak tahu kenapa dengan saya sejak kebelakangan ini tak berminat untuk jumpa orang, berbual, membalas mesej, berkongsi apa sahaja perkara atau berlagak seperti mengambil kisah tentang semua yang berlaku di sekeliling.
“Saya tiada mood untuk semua itu. Bukan sebab marah atau sedih cuma mahu menjauhkan diri daripada manusia dan bunyi sebentar serta inginkan ketenangan.
“Saya tiada tenaga untuk berpura-pura seperti okey atau teruja tentang perkara yang tidak lagi ada ‘spark’ dalam diri,” katanya dalam Instagram.
Ujarnya, dia memilih untuk mengutamakan ketenangan diri berbanding terjebak dalam dunia media sosial yang menyesakkan jiwa.
“Selain itu, saya juga tak mahu tahu semua yang berlaku di sekeliling termasuk berita, gosip atau siapa yang melakukannya.
“Bukan benci tetapi hanya rimas dengan manusia dan media sosial yang tidak berhenti bising.
“Rimas itu yang membuatkan rasa mahu bersembunyi dan diam. Mungkin juga jiwa saya meminta untuk rehat,” kata anak kepada penyanyi legenda, Datuk Amy Search itu.
Meskipun begitu, Nabila dilihat masih memuatnaik foto dan kandungan dalam media sosialnya yang kali terakhir dilakukan tiga hari lalu. -HIBGLAM