SEDEKAD membina nama, bermacam cara dilakukan figura bernama Amir Masdi demi memastikan namanya terpahat kemas dalam peta seni tanah air.
Dari pentas realiti hingga ke gelanggang arus perdana, langkah anak muda itu tidak pernah surut, malah kian deras mengukuhkan reputasi sebagai salah seorang penyanyi paling disegani generasinya.
Tidak pernah mengalah apatah lagi menyalahkan takdir apabila namanya lambat panas berbanding rakan seperjuangan lain, itu satu sikap yang wajar diberi pujian.
Pemilik nama sebenar Amir Syazwan Masdi itu tidak pernah cemburu, sebaliknya terus menumpahkan keringat demi membuktikan bahawa masa, usaha dan kejujuran tidak pernah mengkhianati hasil.
Kini, Amir kian terbang tinggi mengukuhkan kedudukannya sebagai penyanyi popular tempatan apabila meluncurkan album keduanya berjudul AM:PM, sebuah karya introspektif yang menzahirkan sisi matang dirinya sebagai anak seni.
Album tersebut dirakam beribu kilometer dari tanah air di Volta Lab Studios, Rochdale, Manchester, United Kingdom sekali gus memperlihatkan keberanian Amir mencari pengalaman baharu dalam acuan antarabangsa.
Album sudah ada, lagu juga makin banyak, lantas terbit pertanyaan di hati peminat, bilakah agaknya penyanyi berusia 29 tahun ini bakal berdiri di atas pentas megah miliknya sendiri menerusi konsert solo?
Bertemu empat mata dengan penulis, persoalan itu terus dilontarkan kepadanya.
Amir tersenyum, sebelum menjelaskan bahawa konsert tidak hanya soal kemampuan kewangan, tetapi tentang kesiapsiagaan jiwa dan tanggungjawab kepada peminat.
“Sejujurnya, perancangan konsert memang sudah ada sejak album pertama lagi. Tapi saya percaya dengan pasukan saya. Kami sepakat bahawa untuk mengadakan konsert bukan semata-mata kerana ada duit tetapi lebih daripada itu.
Bagi saya, konsert adalah soal bagaimana kita meyakinkan orang untuk membayar tiket dan datang menonton. Adakah mereka hadir sekadar mahu dengar nyanyian sempurna? Itu boleh saja mereka dengar di YouTube.
“Hakikatnya konsert sebenar lebih daripada itu, tentang hubungan serta bagaimana kita ‘menyentuh’ telinga, mata dan juga hati mereka,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelantun Nur Cinta itu, dia mahu benar-benar bersedia dari segala aspek sebelum melangkah ke pentas besar itu.
Sebagai penyanyi, konsert adalah medan kita untuk memberi segalanya. Tapi saya mahu berlaku adil kepada peminat. Saya tak mahu mereka datang dengan harapan tinggi dan pulang kecewa. Sebab itu, bagi saya, persediaan adalah segalanya,” ujarnya.
Berbicara tentang katalog muzik, Amir mengakui sudah memiliki bekalan lagu yang cukup untuk menjayakan sebuah konsert berskala besar.
“Lagu dah cukup, alhamdulillah. Itu antara sebab saya hasilkan album kedua. Saya mahu bila orang datang ke konsert nanti, mereka dengar lagu-lagu saya sendiri, bukan lagu orang lain.
Seronok nyanyi lagu cover (saduran), tapi itu cuma menyeronokkan lima minit sahaja. Selepas itu, orang akan terfikir, alangkah baik kalau dia nyanyi lagu sendiri. Saya mahu penonton kenal saya melalui karya asli, bukan sekadar sebagai penyanyi lagu orang lain,” tambahnya.
Menariknya, walaupun sudah menerima beberapa tawaran penganjur untuk mengadakan konsert, jejaka berambut panjang itu memilih untuk menolak dengan cara baik.
“Setakat ini memang ada beberapa yang menghampiri. Tapi saya dan pasukan bincang secara mendalam dan buat keputusan untuk belum lagi. Kami tolak dengan baik sebab saya mahu betul-betul bersedia.
Saya rasa selepas album siap, baru saya akan fikir serius tentang konsert. Sekarang saya tengah membina kekuatan, bukan saja untuk peminat tapi juga untuk meyakinkan rakan-rakan industri.
“Saya nak semua peminat, kawan industri, rakan artis datang dan rasa konsert itu sebagai satu kenangan. Bukan hanya nyanyi hebat atau suara sedap, tapi sebagai satu perayaan kepada perjalanan muzik,” noktahnya. – HIBGLAM