‘Selamat tinggal’ yang bergaya tapi tergesa-gesa

USAI dua musim yang luar biasa dengan permainan maut serta perang psikologi mendebarkan, siri popular Jepun Alice in Borderland kembali dengan musim ketiga.

Kali ini diluncurkan bermula selepas Arisu dan Usagi telah kembali ke dunia sebenar.

Namun, trauma memori dari dunia Borderland mula menghantui mereka. Usagi dan Arisu sekali lagi terperangkap dalam dunia ganjil permainan antara hidup dan mati.

Premisnya menarik, tetapi perjalanan musim ini nyata membahagikan pandangan penulis secara peribadi.

ALICE in Borderland musim ketiga ditamatkan penuh keadilan selain memberi bayangan akan ada spin-off dalam pembikinan.

Dari segi visual, musim ketiga Alice in Borderland tidak mengecewakan. Reka bentuk set dan suasana permainan kekal mengagumkan dengan elemen sinematografi yang gah dan darker.

Pencahayaan, sudut kamera dan penggunaan gerak perlahan memberi impak dramatik mencengkam.

Secara teknikal, produksi ini masih antara yang terbaik di platform Netflix untuk kategori drama Jepun.

Namun, perubahan ketara yang sedikit kurang meyakinkan dapat dilihat dari segi jalan cerita.

Jika dua musim terdahulu menumpukan kepada kelangsungan hidup dan teka-teki permainan, musim ketiga pula lebih bersifat falsafah dan emosi sekali gus menggali persoalan hidup, mati dan tujuan kewujudan, selain memperlihatkan kesan trauma terhadap watak-watak yang terselamat.

ARISU dan watak baharu yang dicipta khas untuk musim ketiga Alice in Borderland, Rei Morikage (Tina Tamashiro).

Hubungan antara Arisu dan Usagi menjadi nadi utama, diselitkan dengan detik-detik menyentuh hati yang menambah kedalaman naratif.

Walau begitu, percubaan berani ini turut mengundang kelemahan. Dengan hanya enam episod, jalan cerita terasa agak tergesa-gesa.

Watak-watak baharu muncul tanpa latar belakang yang kukuh, namun tetap menonjolkan kemenjadian luar biasa. Antara yang berbekas adalah karakter Rei lakonan Tina Tamashiro.

Konsistensi

Beberapa permainan baharu pula lebih menonjolkan aksi berbanding logik, menjadikan peraturan dan strategi yang dahulu begitu digemari kini tampak sedikit longgar.

Konsistensi watak turut menjadi isu. Sementelah Usagi, dirasakan tidak selari dengan pembentukan karakter sebelum ini, Arisu pula dilihat berdepan konflik dalaman yang berulang-ulang hingga menjejaskan momentum cerita.

KARAKTER Usagi yang ‘ditamatkan’ cemerlang oleh pelakon handalan Jepun, Tao Tsuchiya

Lebih merumitkan, musim ini turut meninggalkan beberapa persoalan terbuka yang seakan-akan menjadi jambatan kepada spin-off akan datang, menjadikannya terasa lebih seperti epilog panjang berbanding bab penutup yang tuntas.

Walaupun begitu, Alice in Borderland musim ketiga masih mempunyai detik-detik menegangkan dan emosi yang kuat.

Babak-babak dramatik serta penyelesaian kepada beberapa misteri lama memberi kepuasan kepada peminat setia. Namun, dari segi keaslian dan keampuhan naratif, masih belum mampu menandingi dua musim terdahulu yang lebih mantap dan berkesan.

Secara keseluruhannya, musim terbaru ini boleh dianggap sebagai perpisahan yang manis tapi sedikit hambar – cantik dari segi visual, berani dalam tema namun kurang tajam dari segi naratif.

Bagi mereka yang mengharapkan kepintaran dan kejutan seperti sebelumnya, mungkin akan sedikit hampa. Verdict jujur andai musim ini adalah sebuah lembaran kertas jawapan: 79 daripada 100 – ‘selamat tinggal’ yang bergaya dan menyentuh hati, meskipun ada kelompongan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok