SUSULAN pasukan misi kemanusian Global Sumud Flotilla (GSF) dikecam, penyanyi Nuha Bahrin berharap orang ramai memberi tumpuan kepada matlamat utamanya iaitu menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.
Nuha atau nama penuhnya Nuha Sakina Saiful Bahrin, 25, berkata, gerakan misi kemanusiaan yang dilakukan bukan perkara kecil sebaliknya perjuangan besar yang tidak semua orang mampu lakukan.
“Saya akan sentiasa fokus pada motif utama kempen ini. Gerakan ini bukan sesuatu yang kecil, tetapi merupakan satu kempen besar yang bukan semua orang mampu lakukan.
“Jadi, saya berharap agar kita semua tidak mengalihkan fokus daripada Gaza. Jangan ubah topik.
Bagi saya, apa yang mereka lakukan ini sememangnya demi Gaza. Jadi, saya harap kita sama-sama sentiasa fokus pada tujuan asal gerakan ini, bukannya mempersoalkan kenapa wanita turut serta atau perkara lain yang tidak relevan,” katanya kepada HibGlam.
Nuha turut hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini bagi menyambut 23 aktivis Malaysia yang tiba di tanah air selepas menjadi tahanan dan dilayan kejam tentera Israel.
Bagi pelantun lagu Casablanca itu, kedatangannya ke KLIA baru-baru ini adalah untuk memberi sokongan selain berbangga dengan kesemua delegasi negara.
“Bagi saya, bila nampak wajah-wajah hero kita, memang sebak dan saya juga bangga. Apa mereka lakukan memang hanya orang terpilih. Allah yang pilih orang begini.
Jadi, saya di sini hanya untuk memberi sokongan dan bangga kerana mereka individu yang saya kenal.
“Masha-Allah, saya tiada apa nak katakan selain berbangga,” jelasnya.
Pada masa sama, Nuha tidak menolak sekiranya diberi peluang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza walaupun mengakui wujud perasaan takut.
“Bagi saya, kalau nak cakap soal sedia, benda ini tak semua orang boleh buat. Saya harap ada keberanian sikit.
Sudah semestinya kalau boleh diberikan peluang, saya mahu pergi tapi senang untuk kita cakap daripada lakukan.
“Jadi, saya harap Allah bagi saya peluang,” tuturnya lagi.
Sebelum ini, nama seorang pereka fesyen terkenal tanah air hangat diperkatakan apabila memuat naik hantaran menyentuh perihal kepentingan wanita ditemani mahram dalam apa jua perjalanan.
Malah, ada juga segelintir pihak menuduh aktivis negara yang menyertai misi GSF hanya mengejar populariti berbanding tujuan asal membantu Gaza.
Selasa lalu, seramai 23 delegasi Malaysia misi kemanusiaan GSF selamat tiba di tanah air dari Istanbul, Turki selepas dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis.
Kesemua 23 sukarelawan termasuk selebriti Zizi Kirana, Ardell Aryana, Heliza dan Hazwani Helmi merupakan sebahagian daripada lebih 500 sukarelawan dari 44 negara yang berlayar sejak September lalu.
Kapal dinaiki mereka dipintas tentera Israel sebelum dilayan dengan kejam sepanjang menjadi tahanan. – HIBGLAM