‘Mereka ada pengikut, kuasa untuk sebarkan kebenaran’

PENGACARA dan personaliti televisyen, Dayah Bakar menggesa golongan selebriti serta pempengaruh agar menggunakan platform media sosial masing-masing untuk menyebarkan mesej kemanusiaan dan memperjuangkan hak asasi manusia, khususnya dalam isu Palestin.

Ujar Dayah atau nama sebenarnya Nur Hidayah Abu Bakar, 36, golongan berpengaruh sepatutnya tampil menggunakan suara mereka untuk menggerakkan kesedaran masyarakat, bukan sekadar menjadi pemerhati dalam media sosial.

“Tolonglah, wahai selebriti dan pempengaruh. Kamu ada pengikut, kamu ada kuasa untuk sebarkan kebenaran. Kenapa tidak gunakan kelebihan itu untuk isu kemanusiaan?

“Jangan rasa penat untuk berkongsi. Walaupun hanya satu hantaran, nilainya besar. Sesiapa pun kalau ada hati dan perasaan, pasti faham maksud kemanusiaan sebenar,” katanya kepada HibGlam.

Tambah ibu dua anak itu, dia ltidak faham mengapa manusia hari ini perlu diberi alasan untuk menolak kekejaman atau mempertahankan nyawa yang tidak bersalah.

“Saya tak tahu apa dah jadi dengan manusia. Perlu ke kita bagi sebab untuk menentang pembunuhan beramai-ramai? Perlu ke kita turun berdemo hanya untuk cakap bunuh bayi itu salah?

“Saya marah, tapi dalam masa sama saya sebak. Sampai bila kita nak biar kezaliman ni berlaku depan mata?,” ujarnya pada Himpunan Solidariti bersama Gaza, di sini, hari ini.

Dayah turut menzahirkan rasa kagum terhadap keberanian 23 sukarelawan Malaysia di bawah misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang baru pulang selepas ditahan rejim Zionis Israel.

Malah katanya, perjuangan mereka sepatutnya dijadikan inspirasi dan tidak wajar jika ada pihak mempertikaikan sambutan rakyat Malaysia terhadap kepulangan sukarelawan tersebut kerana penghargaan itu lahir daripada rasa bangga dan hormat.

“Saya tengok sendiri rakyat Malaysia yang pergi berjuang. Mereka tinggalkan anak, suami, keluarga demi kemanusiaan. Jangan fikir tugas mereka mudah.

“Sebab tu saya sedih bila nampak ada komen kecam. Ada yang kata mereka ni macam nak diraikan, kononnya lebih-lebih. Sedangkan mereka tak minta pun disanjung. Kita raikan sebab kita hargai pengorbanan mereka.

“Mereka wira kita. Kalau tak suka, diam. Tak perlu nak tulis komen sinis atau pertikai usaha mereka. Kalau nampak komen negatif, jangan layan. Kita bagi sokongan, bukan cercaan,” tuturnya

Pada Sabtu lalu, seramai 23 sukarelawan Malaysia di bawah misi Global Sumud Flotilla (GSF) selamat dibebaskan selepas ditahan rejim Zionis sejak 2 Oktober lalu.

Mereka termasuk Zizi Kirana, Ardell Aryana, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi, sebahagian daripada lebih 500 sukarelawan antarabangsa yang belayar sejak September lalu bagi menghantar bantuan makanan dan perubatan ke Gaza sebelum kapal mereka dipintas dan dilayan kejam oleh tentera Israel. — HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok