PELAWAK dan usahawan Shuib selaku pengurus kepada anaknya, Thalita menyambut baik pengumuman pihak Astro menambah satu minggu lagi untuk konsert akhir Talk To My Manager (TTMM) yang akan berlangsung pada 12 Oktober ini.
Sedar dengan kecaman ramai dalam media sosial, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 41, menyifatkan keputusan tersebut adalah yang terbaik memandangkan kesemua peserta telah berusaha hampir tiga bulan.
“Bagi saya baguslah ditambah (konsert mingguan) sebab kami sudah berusaha beberapa minggu.’
Hal berkaitan kesihatan tak boleh nak elak, jadi bila ada penambahan minggu iaitu Grand Finale, ini mungkin satu peluang juga,” katanya ketika dihubungi 3 Pagi Era hari ini.
Dalam masa sama, dia mengakui bimbang memikirkan suara Thalita yang belum sembuh sepenuhnya disebabkan Influenza A.
Kami bergelut sebab sehingga semalam, suaranya masih lagi ‘crack’ dan tak boleh menyanyi dengan kuat. Itu yang saya risau,” katanya lagi.
Tambah Shuib, dia turut menemani Thalita di rumah sepanjang tempoh kuarantin.
Ini semua urusan Allah SWT, Influenza A pula jenis berjangkit. Kalau peserta lain dijangkiti, siapa nak bertanding?
“Sudah seminggu saya di rumah jaga Thalita. Kalau bukan saya, siapa lagi nak jaga dia.
“Namun, manalah tahu tambah lagi seminggu ini, menang pula kami,” selorohnya.
Sementara itu, Thalita atau nama penuhya Dzahira Talita Zahra, 12, berkata, dia kini masih dalam proses penyembuhan dan mengakui sukar untuk melontarkan suara.
“Saya kena Influenza A, suara saya pecah dan batuk. Dada saya rasa sempit sangat.
“Sekarang demam semakin pulih namun suara tak boleh keluar, susah nak menyanyi,” ujarnya.
Semalam, Shuib dan Thalita tidak bertanding berikutan dijangkiti Influenza A dan perlu menjalani kuarantin.
Di hujung acara, pengacara TTMM, Datuk Aznil Haji Nawawi membuat kejutan dengan mengumumkan produksi menambah satu minggu lagi bagi pentas Grand Finale memandangkan program realiti tersebut menerima sambutan luar biasa peminat.
Kejutan itu sekali gus menyaksikan enam pasangan peserta iaitu Marsya dan pengurusnya, Liza Hanim, Ammar (Ameng Spring), Amad (Siti Saerah), Thalita (Shuib), Hadie (Ina Naim) serta Auddra (Sharifah Shahirah) bakal berentap di pentas akhir Talk To My Manager pada 12 Oktober ini. – HIBGLAM