BICARA tentang seni, nama Erma Fatima tetap berdiri megah dalam landskap hiburan tanah air.
Lebih tiga dekad mencipta naskhah dan menabur bakti, wanita hebat itu sekali lagi membuat kejutan dengan melahirkan buah tangan baharu bernama Karya Reel, sebuah aplikasi penstriman digital yang membuka ruang luas buat pengkarya tempatan menyalurkan karya tanpa belenggu.
Pemilik nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali itu mengakui, tekadnya membina platform terbabit hadir daripada perjuangan yang lebih besar daripada sekadar hiburan.
“Saya mahu platform untuk saya dan kawan-kawan seni berkarya, sambil merasakan nikmat memiliki karya itu.
“Ini perjuangan saya, bukan untuk diri sendiri semata-mata tetapi untuk sahabat-sahabat seni saya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Paling penting, beliau enggan generasi penggiat seni kini berakhir nasib seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, yang meski karya agungnya masih hidup, hak pemilikan langsung tidak berada di tangan seniman agung itu.
Bagaikan seorang ibu, wanita berusia 57 tahun itu menyifatkan Karya Reels sebagai anak yang lahir sebelum cukup bulan, namun tetap disambut dengan penuh kasih.
“Saya ibarat ada anak. Bezanya dengan seorang ibu mengandung, anak saya lahir lebih awal, belum cukup sembilan bulan. Saya sudah melalui rasa sakit sebelum melahirkan, tetapi inilah anak seni saya, hadiah untuk masyarakat.
“Banyak perkara yang saya mahu sampaikan kepada masyarakat. Saya percaya seni adalah wadah mesej. Namun kita sering tidak diberi peluang untuk mengangkat kisah yang didahagakan masyarakat untuk dijadikan teladan,” jelasnya.
Meski Karya Reels memberi kebebasan, pelakon Mok Cun itu tetap menegaskan ada batas yang dijaga.

Marabbuka antara karya terbitan Erma yang diharamkan daripada ditayangkan.
“Apabila berkarya di platform ini, kita tidak perlu melalui LPF atau Jakim kerana kita sendiri tahu batas-batasnya.
“Walaupun ada sesekali melanggar sedikit, contohnya isu pondan yang tidak boleh dipaparkan secara jelas, mesej tetap perlu disampaikan,” ujarnya.
Erma mengakui pengalaman silam menjadi pengajaran paling berharga. Beberapa naskhahnya pernah diharamkan, termasuk Marabukka yang mengetengahkan isu murtad, serta drama yang memaparkan adegan DBKL membuang air di pasar.
“Karya saya pernah ‘diharamkan’ kerana saya enggan buang babak yang dianggap sensitif.
“Misalnya adegan DBKL buang air di pasar kerana peniaga tiada lesen, itu realiti yang saya lihat sejak kecil. Tetapi kerana berkeras, drama tersebut tidak ditayangkan,” luahnya.
Namun, jauh di sudut hati, Pengarah Terbaik Festival Filem Antarabangsa Pyongyang ke-7 itu tetap menghargai stesen televisyen yang pernah menjadi tapak awalnya sebagai anak seni.
“Saya tidak boleh menolak stesen TV. Dari situlah saya lahir sebagai anak seni.
“Tetapi saya tetap ingin merasai nikmat memiliki karya sendiri, bebas berkarya untuk bangsa dan agama. Inilah perjuangan saya,” tegasnya.
Ditanya bagaimana tercetus ilham membina aplikasi tersebut, Erma mengaku trend ‘short reels’ di media sosial memberi inspirasi.
“Saya sendiri pernah terpedaya dengan short reels di TikTok. Trend ini sudah lama di Taiwan, China, Hollywood mahupun Bollywood.
“Kalau saya sendiri boleh terpengaruh untuk menonton dan membayar, orang lain pasti begitu juga,” tutupnya.