17
Selepas menerima kecaman hebat susulan didakwa tidak sensitif terhadap isu Palestin, pempengaruh Ameera Khan akhirnya tampil memberi penjelasan berhubung pendiriannya.
Ameera atau nama penuhnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, 25, menegaskan bahawa tindakan untuk berdiam sebelum ini bukan bererti dia bersikap berkecuali.
“Hati dan doa saya sentiasa bersama rakyat Palestin serta mereka yang berada di atas kapal Sumud Flotilla.
Ketahuilah bahawa saya berdiam bukanlah tanda berkecuali dan kerja saya tidak pernah mencerminkan pendirian saya terhadap kemanusiaan, tak mengubah apa yang saya yakini dan siapa yang saya sokong.
“Tanggungjawab kerja saya tidak seharusnya disalah tafsir sebagai ketidakpedulian. Kepercayaan dan sisi kemanusiaan saya sentiasa bersama Palestin,” katanya dalam InstaStory.

TANGKAP layar InstaStory Ameera Khan.
Pada masa sama, adik kepada selebriti Neelofa itu memaklumkan hasratnya untuk berbuat sesuatu bagi membantu perjuangan rakyat Palestin tetapi hanya mampu menitipkan doa buat nasib mereka.
“Seperti orang lain, saya juga berharap dapat melakukan lebih banyak lagi.
Buat masa ini, saya berdoa untuk semua yang berada di atas kapal Sumud Flotilla, berdoa untuk Palestin untuk kebebasan, maruah dan hak mereka untuk hidup dalam keamanan.
“Bebaskan Palestin selamanya,” jelasnya.
Sebelum ini, netizen melancarkan gerakan boikot dan menyahikut media sosial kerana masih mempromosikan barangan yang dikaitkan dengan Israel.
Terdahulu, misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang disertai hampir 500 aktivis dari 45 negara itu berlayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.
Begitupun, situasi menjadi gawat apabila tentera Israel memintas konvoi terbabit sekali gus
menahan sukarelawan termasuk semua rakyat Malaysia yang menyertai flotilla termasuk
penyanyi, Zizi Kirana, Ardell Aryana, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.
Sebelum ini misi terbabit mendapat perhatian dunia apabila turut disertai tokoh antarabangsa
termasuk aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood, Susan Sarandon serta cucu Nelson
Mandela, Mandla Mandela.
Kesemua aktivis sudah dipindahkan Pelabuhan Ashdod ke pusat tahanan paling besar dan ketat, Penjara Ktzi’ot di Gurun Negev. – HIBGLAM