PENYANYI dan aktivis Hazwani Helmi menitipkan ucapan menyayat hati buat orang tuanya yang sudah merelakannya serta kakak yang juga penyanyi Heliza Helmi mengikuti misi Global Sumud Flotilla (GSF) kini memasuki zon merah berhampiran Gaza.
Pemilik nama lengkap Nur Hazwani Afiqah Helmi, 28, yakin doa ibu bapanya dapat membantunya dan pasukan dalam perjalanan menuju ke Gaza.
“Terima kasih mama abah sebab menyokong, mendoakan dan mendidik kami sampai ke tahap ini.
Kami tahu bukan mudah mama dan abah nak merelakan dua orang anak perempuan sekali gus untuk misi macam ini.
“Tapi kami yakin sebab mama dan abah antara orang yang sangat yakin dengan kuasa doa,” katanya dalam hantaran Instagram.
Pelantun lagu Wahana itu mengakui ibu bapanya bimbang akan keadaannya terutama selepas mereka dimaklumkan bahawa pasukan misi kini berada sangat hampir dengan Gaza.
“Macam mana Allah jaga kami masa misi di Syria, Gaza dan negara bergolak yang lain, insha-Allah mudah-mudahan untuk misi kali ini juga.
Kami tahu mesti tak lena tidur mama abah terutamanya malam ini sebab kami dah masuk zon merah.
“Sangat dekat dah dengan Gaza. Banyak kebarangkalian yang akan berlaku tapi insha-Allah reda mama abah menjadi payung penyelamat kami,” ujarnya.
Pada masa sama, Hazwani memohon ampun serta berterima kasih kepada kedua ibu bapanya atas kasih sayang dan pengorbanan mereka.
Mama abah, terima kasih menjadi ibu ayah yang terbaik buat kami. Halalkan segalanya, maafkan segala salah silap kami.
“Moga Allah ganjarkan syurga tertinggi untuk mama abah, amin,” ujarnya lagi.
Malam ini, Hazwani memaklumkan kumpulan misi Global Sumud Flotilla sudah memasuki zon merah sebentar tadi.
Sebelum ini, tular video kapal aktivis GSF diganggu kapal tentera Israel dan sistem komunikasi turut rosak.
Sepanjang pelajaran yang bermula pada awal bulan lalu, mereka ditakutkan dengan kehadiran dron dipercayai milik tentera Israel.
Selain Hazwani dan Heliza, delegasi dari Malaysia yang berlepas dari tanah air pada 31 Ogos lalu turut disertai penyanyi Zizi Kirana, Ardell Aryana serta pempengaruh, Farah Lee. – HIBGLAM