‘Penyanyi nyanyi nada tinggi dan sedap, itu bonus besar’

MAESTRO muzik tanah air, Datuk M. Nasir tampil memberi pencerahan berhubung isu standard penilaian pertandingan muzik susulan tindakan penyanyi Atilia Haron mempersoalkan kemenangan artis bersuara tinggi dalam sesebuah anugerah.

Menurut M. Nasir atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed, 68, faktor penilaian tidak pernah bersandar semata-mata pada kemampuan mencapai nada tinggi, sebaliknya gabungan keseluruhan dinamik vokal dan kebolehan seorang penyanyi.

“Itu soal kebolehan. Penyanyi dinilai daripada beberapa sudut. Pertama, jangkauan vokal atau range suara. Kedua, tona suara yang merdu. Ketiga, aspek teknikal seperti kawalan dinamik, teknik pernafasan, malah bagaimana seseorang itu bermain dengan ritma.

“Kalau ada tiga penyanyi, jurinya akan pertimbangkan semua faktor tersebut. Mungkin seorang memiliki range lebih luas, seorang lagi tona lebih sedap, manakala seorang pula pandai bermain teknik.

“Jadi yang paling lengkap kriteria keseluruhannya layak diangkat sebagai pemenang,” katanya kepada HibGlam pada sesi latihan konsert Cipta 3, di sini, semalam.

Tambah pelantun Tanya Sama Itu Hud Hud itu, kemampuan mencapai nada tinggi hanyalah kelebihan tambahan, bukan penentu mutlak.

“Bukan kerana suara tinggi semata-mata. Kalau nada tidak terlalu tinggi pun, masih boleh menang asalkan penyampaian penuh rasa dan rakaman memberi kesan kepada pendengar.

“Tetapi kalau seseorang penyanyi mampu membawa nada tinggi dengan merdu dan tepat pada tempatnya, itu memang menjadi bonus besar buatnya,” ujarnya.

Mengulas sama ada penyanyi bernada tinggi sememangnya lebih diterima khalayak, beliau menegaskan selera budaya turut memainkan peranan.

“Dalam budaya kita, memang ada kecenderungan pada vokal tinggi. Umpama bacaan al-Quran, ramai suka suara beralun tinggi.

“Tetapi tidak semua suara tinggi sedap. Bezanya, yang menang kali ini, suaranya tinggi dan sedap didengar. Itu kekuatannya.

“Nilai itu bergantung pada dinamik persembahan ketika pertandingan atau rakaman. Selepas itu, soal rezeki dan nasib turut menentukan,” jelasnya.

Terdahulu, Atilia mencuri perhatian selepas memuat naik hantaran di media sosial membandingkan industri tempatan dengan penyanyi antarabangsa seperti Norah Jones dan Sade yang mampu menawan dunia tanpa perlu meninggikan tona suara.

“Kalau Norah Jones jadi penyanyi di Malaysia, adakah dia akan menang anugerah? Tidak, sebab dia tidak menjerit ketika menyanyi. Sama juga dengan Sade,” tulisnya.

Bagaimanapun, hantaran yang mencetuskan polemik itu sudah dipadam.

Meskipun tidak menyebut nama sesiapa, netizen mengaitkan kenyataan tersebut dengan kejayaan besar Aina Abdul yang merangkul trofi utama di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) di Arena of Stars, Genting Highlands, Sabtu lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok