PENUH debaran, sarat kejutan dan sengit, namun menepati ramalan.
Itu rangkuman ringkas mengenai keputusan penuh pemenang Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands pada Sabtu lalu.
Sama ada AIM, malam penuh prestij yang selalu diandaikan terlaksana penuh ‘sesuatu’, serba menjauh daripada ekspektasi biasa atau berjalan seperti seadanya seperti saban penganjuran terdahulu mudahnya disebut klise, stereotaip yang juga ‘truisme’ itu, acara yang tahun ini naik ke tanah tinggi tersebut seharusnya diraikan dengan besar hati – tanpa prejudis! Lihat sahaja banyak pembaharuan trofi yang disenaraikan masuk mengisi kategori pertandingan.

AINA pulang bergaya dengan empat trofi sulung AIM iaitu Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Terbaik dan Rakaman Album Terbaik.
Merupakan anugerah tertinggi dalam industri muzik tanah air, AIM24 berjaya meletakkan penanda aras baharu buat karya-karya tempatan yang bukan sahaja meraikan penyanyi tetapi semua individu terlibat di belakang tabir.
Tahun ini, AIM24 menjulang album yang mengetengahkan irama tradisional iaitu Belagu II milik Dayang Nurfaizah dan diterbitkan komposer ternama tanah air, Aubrey Suwito.
Kemenangan besar itu sekali gus melayakkan Aubrey dan Dayang membawa pulang wang tunai RM200,000 peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV).
Bagi Aubrey, menghasilkan sebuah album yang mengangkat irama Malaysia menjadi impiannya sejak dahulu.
“Saya bangga dengan album ini dan seluruh pasukan yang terlibat.
Kami hasilkan album dengan sepenuh jiwa dan melahirkan sebuah karya seni, bukan untuk mengejar populariti atau sebagainya.
“Kemenangan ini tidak terjangka sebab Belagu I tidak menang sebelum ini. Apa pun semuanya rezeki, terima kasih,” katanya kepada HibGlam.

DAIYAN
Trisha merangkul sejarah peribadi menerusi Anugerah Lagu Inggeris Tempatan Terbaik sebagai
penyanyi, penulis
lagu dan
lagu.
Bukan sahaja Album Terbaik, Belagu II yang diluncurkan sekitar 2023 dengan merakam semula lapan lagu tradisional malar segar turut membawa pulang trofi Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Semua Bahasa) menerusi Rindu Menyapa.
Aina, Ryenald
Selain Album Terbaik, dua kategori ‘panas’ iaitu Vokal Wanita dan Lelaki Terbaik menjadi tumpuan ramai pada malam kemuncak lalu.
Diungguli Aina Abdul dan Ryenald Guntabid, kemenangan tersebut ibarat satu kejutan, namun direstui ramai kerana kelayakan kualiti vokal dimiliki mereka.
Bagi Aina yang juga pemenang Lagu Pop Terbaik, Lagu Terbaik dan Rakaman Album Terbaik bersyukur kerana impian untuk memenangi trofi AIM akhirnya menjadi realiti.
“Terima kasih banyak untuk semua pihak yang tak pernah jemu menyokong kerjaya seni saya.
Sebenarnya ini memang antara anugerah yang saya tunggu dalam hidup. AIM adalah anugerah ikonik di Malaysia selain Anugerah Juara Lagu.
“Kemenangan ini menjadi pemangkin semangat saya untuk terus berkarya,” jelasnya seraya menitiskan air mata kegembiraan.

ROSSA menerima anugerah Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara menerusi karya Bertengkar Manis.
Bagi Ryenald pula, dia tidak meletakkan sebarang harapan tinggi merangkul sebarang trofi memandangkan saingannya bukan kaleng-kaleng, masing-masing punya nama besar di persada seni tanah air.
“Sejujurnya kemenangan ini di luar jangkaan saya.
Macam mana saya boleh dapat pun saya tidak tahu hendak jawab, memang sangat bersyukur,” jelas anak kelahiran Sabah itu.
Bukan sahaja Aina, penyanyi dan komposer, Faizal Tahir yang tidak hadir pada malam tersebut turut cemerlang apabila membawa pulang empat trofi Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik (Campak Bintang bersama Datuk M. Nasir), Lagu Nasyid Terbaik (Biar Satu Dunia Tahu/Mirwana), Lagu Perpaduan Terbaik (Bendera) dan Lagu Dengan Hasilan Video Tertinggi Di TikTok (Santai).
Malam kemuncak AIM24 turut menjadi saksi kemenangan pertama Daiyan Trisha selepas 12 tahun bergelar penyanyi bagi kategori Lagu Inggeris Terbaik menerusi My Home Is In Your Arms yang melayakkannya membawa pulang wang tunai RM50,000.
Paling manis pastinya apabila Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza diumumkan sebagai pemilik trofi Anugerah Sri Wirama yang juga anugerah pencapaian sepanjang hayat buat mana-mana artis dan penggiat belakang tabir.

SETELAH berpuluh anugerah AIM menjadi miliknya, tahun ini Siti merangkul pengiktirafan tertinggi sebagai penerima Anugerah Wirama AIM24.
Siti mengakui terharu dianugerahkan trofi tersebut pada usia 46 tahun.
Saya ingin merakamkan penghargaan kepada suami tersayang serta keluarga, pihak pengurusan, rakan seperjuangan, pencipta lagu, penulis lagu, penerbit, pihak media serta semua yang telah menjadi tulang belakang kerjaya saya.
“Tidak lupa kepada Sitizoners yang setia memberi sokongan dan kasih sayang tanpa henti,” ujarnya.
Ernie Zakri terus mendunia apabila lagu Masing Masing ciptaan komposer Indonesia, Ade Govinda menepati ramalan memenangi kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik dan Lagu Paling Tinggi Distrim. – HIBGLAM