FESTIVAL muzik terbesar Indonesia, Pestapora 2025 menutup tirai dengan jayanya pada 7 September lalu selepas berlangsung selama tiga hari berturut-turut.
Kedengaran asyik, namun perjalanan festival tersebut bukanlah mudah. Beberapa ujian dan cabaran besar muncul, baik sebelum mahupun sepanjang berlangsung.
Beberapa hari sebelum acara, Indonesia dilanda gempar dek kebangkitan dan ketegangan rakyat yang kecewa dengan wakil rakyat terutama selepas insiden tragedi meragut nyawa penunggang motosikal e-hailing, Affan Kurniawan yang maut dilanggar kenderaan perisai polis.
Ramai mula bimbang, adakah Pestapora kemungkinan dibatalkan memandangkan situasi sangat berisiko.

VOKALIS Sheila On 7, Duta teruja bergambar dengan peminat yang membanjiri tapak festival muzik Pestapora 2025.
Bagaimanapun, penganjur Pestapora iaitu Kiki Ucup tetap meneruskan festival tetapi acaranya bermula seawal pukul 8 pagi sehingga 8 malam demi keselamatan pengunjung.
Hari pertama acara bermula, Pestapora menjadi buah mulut ramai dalam media sosial kerana penyanyi legenda dangdut, Rhoma Irama dipertanggungjawabkan menjadi imam dan khatib solat Jumaat.
Situasi tersebut membuktikan bahawa Pestapora adalah satu-satunya festival muzik yang menggabungkan hiburan dan ibadah dalam satu tempat.
Ramai yang memuji usaha penganjur yang peka terhadap aspek kerohanian meskipun penganjuran acara bersifat hiburan.
Pujian bagaimanapun tidak bertahan lama. Festival tersebut dihimpit kontroversi apabila syarikat PT Freeport Indonesia, syarikat perlombongan yang beroperasi di Papua diumumkan sebagai penaja acara.

TIDAK meninggalkan agama, Pestapora 2025 memberi keistimewaan untuk menunaikan solat Jumaat di tapak acara diimamkan seniman legenda, Rhoma Irama.
Freeport sebelum ini sering dikaitkan dengan isu alam sekitar, penindasan masyarakat Orang Asli Papua, serta dianggap melambangkan eksploitasi sumber alam.
Kehadiran syarikat tersebut sebagai penaja mencetuskan bantahan luas daripada pemuzik dan peminat.
Bertindak pantas, Ucup mengumumkan pemutusan kerjasama dengan Freeport serta memohon maaf secara terbuka.
Impaknya, beberapa band terkenal seperti Feast, Hindia, Banda Neira, Nabicula dan The Panturas pantas menarik diri daripada Pestapora tanda protes.
Bagi sesetengah penyanyi dan penonton, muzik adalah ruang kebebasan dan ekspresi. Kehadiran Freeport sebagai penaja dianggap bercanggah dengan nilai kemanusiaan, keadilan sosial dan kelestarian alam yang sering diperjuangkan dalam karya mereka.
Namun, tak semua pemuzik memilih tarik diri. Barasuara dan Kunto Aji tetap naik ke pentas, tetapi mereka menyumbangkan seluruh bayaran mereka untuk kempen alam sekitar.

BIDUANITA Negara, Siti Nurhaliza menjadi tumpuan utama pengunjung Pestapora 2025 yang merindui persembahannya di negara itu.
Meskipun ragu-ragu pada mulanya, Nadin Amizah tetap tampil membuat persembahan selain mengajak penonton untuk membayangkan sebuah festival yang lebih kecil tanpa sumbangan penaja besar.
Wakil Malaysia
Sorotan utama hadir pada hari ketiga apabila pentas Pestapora menyambut kehadiran penyanyi tersohor Malaysia Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Pentas utama dibanjiri penonton sehingga ‘full house’, membuktikan betapa besar minat rakyat Indonesia terhadap Biduanita Negara itu.
Sepanjang persembahan, Siti sering menyapa penonton dengan hangat, menyatakan rasa rindunya dan bagaimana sokongan daripada peminat Indonesia memberinya semangat luar biasa.
Kehadiran artis Malaysia pertama di pentas Pestapora menjadi simbol persahabatan dan semangat serumpun, menunjukkan bagaimana seni muzik mampu menyatukan dua negara.
Difahamkan, ramai peminat baharu Indonesia mula jatuh hati dengan Siti selepas melihat persembahanna yang penuh tenaga bersulam aura istimewa. – HIBGLAM