Last Rites: Syaitan terbakar bila manusia berkasih sayang

PADA era filem seram semakin berevolusi, jenama The Conjuring bagaimanapun memiliki tempat tersendiri dalam jiwa para peminat dunia sinematik.

Dalam erti kata lain, audiens boleh melambung-lambung pujian terhadap naskhah-naskhah horror seperti Sinners, Weapons dan Bring Her Back, francais The Conjuring – waima mendapat pujian atau kritikan tetap terpahat antara perihal yang menggoncang budaya pop dunia.

Antara kisah yang masih berbekas sehingga sekarang adalah sinergi antara dua watak ikonik, Ed lakonan Patrick Wilson dan Lorraine Warren (Vera Farmiga).

Berpeluang menghabiskan sekitar dua jam penonton The Conjuring: Last Rites Selasa lalu, penulis antara penonton yang ‘terpukul’ dengan penamat kisah Ed dan Lorraine.


Selepas lebih 10 tahun menjadi nadi kepada francais seram moden itu, filem ini berfungsi sebagai ‘salam terakhir’ kepada dua watak yang sudah menjadi ikon dunia seram.

DNA filem asal

Michael Chaves kembali mengarah, manakala James Wan dan Peter Safran meneruskan kesinambungan sebagai penerbit – memastikan DNA asal francais masih terasa.

Kali ini, kisah berpusat kepada Smurl Family Haunting yang berlaku di Pennsylvania pada 1980-an. Mereka diganggu empat entiti jahat sehingga menarik perhatian Ed dan Lorraine yang sepatutnya sudah bersara.

Tontonan memberi ruang untuk membina ketegangan secara perlahan dengan gabungan misteri, elemen supranatural dan tekanan psikologi.

Patrick dan Vera sekali lagi membuktikan mengapa mereka dianggap antara padanan seram paling cocok untuk genre ini.

Cetusan kimia mereka bukan sahaja ‘hidup’, malah menjadikan perjalanan terakhir ini sarat emosi.

Watak Judy Warren (anak mereka) juga diberi peranan lebih mendalam, menambah lapisan peribadi yang menyentuh hati.

Cerita panjang

Penulis secara peribadi sukakan pendekatan pengarah yang umpamanya mencarik benang perlahan-lahan mencantumkan kisah Smurl Family dan Ed Lorraine.

Kemudian, meletakkan karakter Judy lakonan Mia Tomlinson sebagai antara fokal utama mengapa Last Rites menjadi ucapan selamat tinggal bermakna Ed dan isterinya kepada peminat fancais The Conjuring.

Sebuah filem seram yang baik adalah kisah yang tidak bergantung dengan elemen seram atau jumpscare semata-mata, itulah selayaknya kisah The Conjuring: Last Rites dibentangkan.

Filem ini diadunkan hampir sempurna dengan alur cerita atau penceritaan penuh strategik. Bagaimanapun, ada bahagian yang terasa seperti mengulang formula ‘rumah’ berhantu. Beberapa adegan terlalu panjang menyebabkan momentum menurun.

Sebagai seorang penonton yang sudah dihidangkan banyak filem horror hebat tahun 2025, The Conjuring: Last Rites tidak berada di carta lima teratas. Namun cukup kuat untuk berbekas dalam jiwa disebabkan jenama Ed dan Lorraine.

Last Rites bukan sekadar filem seram tetapi sebuah ‘puisi’ sinematik Ed dan Lorraine Warren. Menggabungkan ketakutan dengan cinta, menjadikan penutup ini bukan hanya tentang hantu dan syaitan, tetapi perjuangan manusia mempertahankan keluarga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok