Indonesia berduka, hilang ramai permata seni

TAHUN 2025 menjadi detik penuh pilu buat industri hiburan Indonesia. Jika sebelum ini dunia seni dipenuhi tawa, muzik dan lakonan yang menceriakan peminat.

Tahun ini sebaliknya dihiasi berita duka dengan pemergian beberapa nama besar yang pernah menjadi permata berharga dalam dunia seni tanah air.

Satu demi satu nama besar yang pernah mewarnai layar perak, pentas muzik hingga dunia komedi pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya termasuk pelawak Mpok Alpa yang meninggal dunia pada 15 Ogos lalu selepas melawan kanser selama tiga tahun.

Meskipun berdepan penyakit kritikal, wanita yang meninggalkan seorang suami termasuk kembar lelaki yang dilahirkan tahun lalu tetap merahsiakan penyakitnya dan kelihatan ceria di hadapan semua orang.

Dia juga dilaporkan berulang-alik ke Malaysia untuk melakukan rawatan kanser sejak hamil anak kembar.

Kehilangan mereka bukan sahaja dirasai keluarga dan rakan terdekat, tetapi juga peminat yang pernah tertawa, terhibur dan terinspirasi dengan karya-karya mereka, semuanya kini tinggal memori yang akan terus dikenang sepanjang zaman.

Qomar

PELAWAK senior, Nurul Qomar menghembuskan nafas terakhir pada 8 Januari lalu selepas berjuang melawan kanser usus besar yang merebak ke hati.

Arwah sempat menjalani beberapa sesi kemoterapi dan pembedahan tetapi penyakit tersebut semakin serius menjelang penghujung tahun 2024.

Menjelang penghujung hayat, lelaki berusia 65 tahun itu sempat memenuhi hasrat untuk menunaikan ibadah haji bersama rakan-rakannya.

Menurut anaknya, Allahyarham sempat menitipkan pesanan agar ahli keluarga menjaga kesihatan supaya tidak menerima nasib yang sama sepertinya.

Qomar dikenali sejak menubuhkan kumpulan pelawak, Empat Sekawan Bersama Derry, Ginanjar dan Eman sehingga menjadi ikon sinetron komedi melalui Lika-Liku Laki-Laki.

Tidak hanya dalam seni, dia juga aktif dalam politik dan pernah terpilih sebagai anggota Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia selama dua penggal mewakili Partai Demokrat.

Emilia Contessa

INDONESIA kehilangan bintang ternama era 1970-an, Emilia Contessa pada 27 Januari.

Ketika menghembuskan nafas terakhir, Emilia berusia 67 tahun.

Punca utama kematiannya adalah kegagalan jantung akut yang turut menyebabkan pengumpulan cecair dalam paru-paru.

Menurut laporan perubatan, komplikasi diabetes dan tekanan darah tinggi atau hipertensi menjadi faktor penyumbang kepada kerosakan jantungnya.

Selain dikenali dengan suara merdu yang pernah mendominasi pentas hiburan Indonesia, Emilia atau nama sebenarnya Nur Indah Cintra Sukma Munsyi juga aktif di bidang politik dan pernah bergelar wakil rakyat.

Ari Jamasari

PEMERGIAN aktor Ari Jamasari pada 7 Februari lalu mengejutkan ramai pihak kerana dia tidak menunjukkan tanda-tanda sakit.

Rakan baiknya, Melga yang juga pelakon menyatakan Ari tidak pernah mengadu sakit dan masih aktif melakukan penggambaran drama Preman Pensiun musim kesembilan sebelum kematian.

Pemilik nama lengkap Dedi Mochamad Jam As Ari mula dikenali menerusi karakter Kang Gobang iaitu seorang bekas samseng yang sudah bertaubat dalam sinetron fenomena, Preman Pensiun.

Titiek Puspa

TANGGAL 10 April menjadi titik duka dalam dunia hiburan Nusantara apabila kehilangan susuk legenda, Titiek Puspa yang meninggal dunia pada usia 87 tahun akibat pendarahan otak.

Dua minggu sebelum pemergiannya, pemilik nama sebenar Sudarwati pengsan dalam studio selepas selesai rakaman tiga episod program televisyen, Lapor Pak!.

Dia dikejarkan ke Hospital Medistra, Jakarta Selatan dan hasil pemeriksaan menunjukkan ada pendarahan otak di bahagian sebelah kiri kepala.

Kehilangan Titiek meninggalkan kekosongan besar kerana dia merupakan antara ikon penting dalam sejarah muzik dan hiburan Indonesia.

Irianti Erningpraja

SETELAH bertarung dengan kanser serviks, penyanyi Irianti Erningpraja meninggal dunia pada 27 Mei lalu.

Penyakit tersebut mula dikesan sekitar pertengahan 2024 dan sering keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan termasuk biopsi.

Menurut suami, Peco Seno, keadaan Irianti memburuk secara mendadak sehari selepas pulang dari hospital sehingga dikejarkan semula ke unit kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia.

Sebelum terjun ke dunia seni, pemilik nama sebenar Tati Irianti Erningpraja merupakan atlet renang dan menjadi juara dalam pelbagai pertandingan Kebangsaan dan juga pertandingan besar seperti PON IX, Sea Game serta Sukan Asia 1977 dan 1978.

Selepas terpaksa berhenti daripada dunia renang, dia beralih ke industri seni.

Gustiwiw

PENYANYI Gustiwiw menghembuskan nafas terakhir pada usia 26 tahun pada 15 Jun lalu selepas ditemui terjatuh dalam bilik mandi tempat penginapan di Lembang, Bandung.

Ibunya menyebut Gustiwiw atau nama sebenarnya Gusti Irwan Wibowo sempat merungut pening sebelum kejadian.

Menurut doktor, tekanan darah tinggi mungkin menjadi punca yang mengancam fungsi jantungnya secara tiba-tiba.

Gustiwiw mencipta genre sendiri yang unik dikenali sebagai Endikup iaitu gabungan dangdut, pop, orkestra dan muzik tradisional Melayu dengan sentuhan lirik ringan bernuansa komedi.

Meskipun merupakan anak kepada pemuzik senior, Timur Priyono, dia memilih untuk meniti jalan seni dengan usaha sendiri tanpa menumpang populariti bapanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok