Zara berhak dapat keadilan telus – Intan Najuwa

LANTANG bersuara, pelakon Datin Intan Najuwa mengharapkan keadilan ditegakkan buat Allahyarham Zara Qairina, 13, yang dipercayai menjadi mangsa buli.

Intan atau nama lengkapnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, menegaskan setiap nyawa wajar dibela seadilnya.

“Keadilan buat Zara. Adik kecil ini berhak dapatkan keadilan yang tulus.

Yang salah tetap salah dan mesti dihukum, bukan sekadar untuk membalas tetapi sebagai peringatan agar tiada lagi anak kecil yang jadi mangsa,” katanya dalam Threads.

Pada masa sama, pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu tidak ketinggalan menitipkan doa buat arwah Zara agar kebenaran berpihak kepadanya.

Doa kami buatmu, Zara. Insya-Allah kebenaran akan menyinari jalanmu dan keadilan akan ditegakkan,” ujarnya.

Terdahulu, Allahyarham Zara Qairina yang didakwa berdepan tragedi buruk akibat dibuli membuatkan rakyat Malaysia termasuk artis bersatu menyuarakan kekecewaan mereka.

Kes tersebut mencetuskan kemarahan ramai selepas remaja itu meninggal dunia sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di bangunan asramanya.

Malah pada 8 Ogos lalu, kubur Allahyarham digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memutuskan untuk menuduh lima suspek yang dipercayai terlibat dalam kes buli.

AGC menegaskan keputusan untuk menuduh suspek bagi kesalahan buli itu dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan mengganggu proses inkues yang akan berlangsung bulan depan.

Mereka yang berumur di bawah 18 tahun itu dituduh mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan iaitu berhubung kesalahan menggunakan atau membuat apa-apa perkataan atau komunikasi yang mengancam, kesat atau menghina.

Lima remaja didakwa membabitkan kes buli Zara mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap arwah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok