SELEPAS menawam Gunung Kinabalu, penyampai stesen radio Hot FM menyahut cabaran untuk bersiaran di dasar laut di Pulau Bidong, Terengganu hari ini.
Selain Khairy Jamaluddin atau KJ, penyampai yang bersama dalam Bekpes Hot Skuba itu adalah Johan, AG dan Fara Fauzana.
KJ berkata, pasukannya hanya mempunyai satu peluang sahaja untuk merealisasikan impian ke udara dari dalam air.
Kita kena realistik sebab cuma ada satu peluang. Ada sejam sahaja (bersiaran) dan kalau kita terlepas memang tak mencapai matlamat misi tawan (laut),” katanya dalam hantaran di Instagram.
Ketika ini keempat-empat penyampai terbabit sudah bersedia untuk memulakan misi mereka pada bila-bila masa.
Bahkan, difahamkan Bekpes Hot Skuba juga dirancang untuk disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Mereka akan bersama kumpulan penyelam skuba profesional yang dibantu pasukan dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Cabaran tersebut disambut selepas mereka mendapat 4.1 juta tanda suka di laman sosial sebaik memaklumkan mengenai misi bersiaran dari dasar laut.
Terdahulu, semua penyampai giat melakukan sesi latihan intensif dengan jurulatih sebelum ‘turun’ hari ini.
Hot FM juga pernah menerima pengiktirafan MBOR di bawah kategori melakukan Siaran Radio Terpanjang dan Tanpa Henti di Gunung Kinabalu.
Stesen terbabit melakar sejarah apabila bersiaran selama 24 jam tanpa henti sepanjang ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu melalui kempen Bekpes Hot Tawan Puncak Kinabalu pada November tahun lalu. – HIBGLAM