‘Enggan hidup dalam penyesalan, pengalaman setahun ini luar biasa’

SEJAK setahun lalu, terlalu banyak ilmu yang ditimbanya di negara ‘Uncle Sam’. Biar jauh beribu batu, hidup pula di negara serba ke depan, dia tidak sedikit pun memandang rendah terhadap industri seni di tanah air sendiri.

Itu yang penulis simpulkan sepanjang berbual hampir sejam bersama anak kelahiran Kuching, Sarawak yang masih dalam tempoh pengajian dan menetap sementara di Los Angeles (LA) ini.

Pujian tersebut bukan sesuka hati diberikan tetapi rasa bangganya terhadap karya dan hasil kerja anak Malaysia masih menebal dalam jiwanya meski sudah menjejakkan kaki ke industri seni Hollywood.

Menurut Jasmine atau nama penuhnya Jasmine Suraya Chin Xian Mei, struktur industri seni hiburan Malaysia dan luar negara tidak banyak beza tetapi LA lebih menekankan hak pekerja termasuk bayaran dan waktu bekerja.

TAMAT belajar di LA kelak, Jasmine Suraya berharap akan diberi peluang untuk meneroka lebih banyak naskhah bergenre romantik pada masa akan datang.

“Tidak terlalu banyak beza pun dengan industri seni kreatif di Malaysia.

Proses untuk hasilkan sesuatu karya masih sama, perlu ‘pitch’ idea, usulkan bajet dan pergi uji bakat. Cuma yang berbeza adalah skala dan sasaran audiens serta kru kerja lebih besar sebab capaian mereka seluruh dunia.

“Kalau karya Malaysia mungkin adakalanya capaian audiens terhad dan hanya terjual di negara sekitar sahaja. Sebab itu saya rasa tak terlalu banyak beza,” katanya kepada HibGlam.

Jelasnya, masyarakat dunia sering dimomokkan dengan kehebatan dunia perfileman Hollywood, namun hakikatnya apa yang dipersembahkan dan dilaluinya adalah sebaliknya.

Dia bahkan memberitahu naskhah dari negara Asia kini setanding dengan filem keluaran Hollywood dan selayaknya dibanggakan.

“Bila orang sebut AS, mesti akan sangka terlalu hebat tetapi realitinya industri seni mereka kecil juga. Pusing-pusing akan jumpa orang sama.

“Kemudian, dulu mungkin AS pernah jadi yang terbesar tetapi sekarang ramai lebih tertumpu dengan hasil kerja dari negara Asia. Karya anak Asia kini setanding sebenarnya.

Cara kerja sama cuma yang beza di sini lebih tegas sebab ada persatuan pekerja jadi, bayaran dan layanan lebih baik cuma tetapi masih ada juga yang hasilkan kerja teruk,” ujarnya.

Emosi

Meski tidak berubah perspektif secara 180 darjah, aktres berusia 36 tahun itu tetap mempelajari sesuatu yang amat berharga buat dirinya iaitu teknik lakonan.

Selain melakonkan watak yang diberikan, Jasmine berkata, industri seni AS menekankan rasa berbanding ekspresi semata-mata untuk menterjemahkan emosi sesebuah karakter.

Persiapan untuk berlakon masih sama iaitu hafal dan dalami skrip, cuma di sini sangat tegas tentang itu.

“Kalau tak betul-betul bersedia dengan karakter, janganlah ambil risiko sebab kita tak boleh menipu emosi yang hendak diterjemahkan.

Mereka mahukan sesuatu yang boleh beri kejutan bukan setakat mengalirkan air mata untuk babak sedih tetapi bagaimana sampaikan rasa dan emosi itu tanpa menangis.

“Contohnya, kita diajar untuk kawal emosi supaya jangan menangis sedangkan hati retak macam nak meletup, di Malaysia pun belajar teknik ini tetapi semua itu sangat-sangat ditekankan di sini,” tuturnya.

JASMINE bakal muncul dengan sebuah filem seram bersama rumah produksi dari Indonesia pada hujung tahun ini.

Masih menebal sifat membumi, wanita yang popular dengan drama Adellea Sofea itu juga berkali-kali menegaskan platform terbaik untuk meneroka industri kreatif ketika ini adalah di Asia.

“Memang saya rasa bertuah dapat timba ilmu di sini tetapi tidaklah rasa riak atau angkuh dengan pemain industri tempatan lain. Mungkin ini rezeki saya.

Di sini semuanya terlalu mahal bahkan mereka juga keluar dari AS untuk jalankan penggambaran bagi menjimatkan lagi kos.

“Jadi, adakalanya saya bersyukur dengan semua yang ada di Malaysia, karya bagus dan pelakon kita semua hebat-hebat,” katanya lagi.

Ulang-alik, kecaman

Bercerita lanjut, walaupun sibuk di LA, dia masih memenuhi tawaran lakonan di Malaysia tetapi yang tidak mempunyai tempoh bekerja yang panjang.

Saya selalunya akan balik Malaysia setiap dua bulan dan masih mempunyai komitmen di sini perlu dilakukan.

“Hati saya masih kekal di Malaysia walau sudah meneroka negara orang,” katanya lagi.

Mengulas mengenai masih wujud segelintir individu yang mempersoalkan keputusannya melanjutkan pengajian dalam bidang seni di AS, dia berasakan itu merupakan keputusan peribadi dan tidak sepatutnya menjadi bahan pertikaian.

“Saya pasti ada sahaja yang masih bercakap-cakap mengenai keputusan saya ini. Namun, semua orang ada pilihan hidup masing-masing.

Macam ada orang cakap kenapa perlu terbang sampai ke LA, itu pilihan dan saya yang akan bertanggungjawab ke atas keputusan itu.

“Saya tidak pernah menyesal dengan semua yang saya lakukan dalam tempoh setahun ini, sebab satu pengalaman luar biasa.

Kalau boleh saya tak mahu hidup dalam penyesalan atau tidak sempat membuat apa yang diimpikan sebelum nafas terakhir,” ujarnya.

 

Selain berjuang untuk menghabiskan pengajian, dia juga berbangga kerana berpeluang memperkenalkan nama Malaysia di luar negara.

“Seronok berada di sini walaupun realitinya ramai masih kurang tahu kewujudan negara kita.

“Jadi, ini peluang saya memberitahu tentang kehebatan dan keistimewaan Malaysia, satu kebanggaan juga!” tuturnya seraya mengakhiri perbualan. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok