SATU perkara tentang filem komedi, genre sebegitu ‘mudah’ untuk didokumentasikan tetapi sukar disempurnakan.
Ramai pengarah terperangkap antara cuba melawak dan mengajar, akhirnya gagal melunaskan kedua-duanya elemen terbabit.
Namun, berbeza dengan naskhah dari Thailand berjudul Isan Nikah arahan Kriangkrai Monwichit yang mula ditayangkan bermula 17 Julai di pawagam Malaysia.
Naskhah tersebut menolak klise dan tampil dengan satu ramuan luar jangka, lucu, sinikal dan spiritual.
Jujur pada awalnya, penulis hadir ke panggung dengan harapan serendah tumit. Cuma sekadar mahu menjenguk, bukan berteduh lama.
Penulis beranggapan naskhah ini hanyalah sebuah karya ‘santai-santai’ dari negara jiran. Thailand memang handal bab komedi, tetapi bila digandingkan dengan elemen islamik, terasa janggal.
Namun seawal 10 minit pertama, naskhah ini sudah memaut perhatian. Bukan dengan ‘punchline’ murahan, tetapi menerusi naratif yang halus, lakonan bersahaja dan elemen sinematografi yang mendakap jiwa.

GANDINGAN komedi Nattawut Sanyabut (kanan) dan Kamonporn cukup serasi dan meninggalkan dampak luar biasa terhadap jiwa penonton.
Isan Nikah bukanlah karya sulung produksi Monwichit Entertainment dalam genre berunsur islamik. Tahun lalu, syarikat dari Thailand itu menggemparkan pentas sinema Asia Tenggara menerusi filem seram islamik, Khong Khaek.
Uniknya, naratif kali ini bukan sahaja menyentuh isu perbezaan agama, malah memperlihatkan nilai persaudaraan, budaya dan keikhlasan cinta yang melampaui batas doktrin.
Sinematografi ‘tiptop’
Sebelum berbicara tentang garapan jalan cerita dan kualiti lakonan, secara peribadi, diakui sinematografi filem ini antara yang paling indah pernah disaksikan dalam sinema Asia Tenggara tahun ini.
Lokasi penggambaran sekitar Narathiwat, Thailand cukup memukau. Panorama laut biru, desa hijau dan perkampungan tenang dijalin kemas dalam lensa kamera, menjadikan setiap babak kelihatan bagaikan poskad hidup.
Malah, dari sisi teknikal, pengarah fotografi Usa Manitanon bijak menggunakan pencahayaan semula jadi menimbulkan kesan dramatik serta keseimbangan emosi.
Babak malam pula tidak gelap tanpa hala, malah diwarnakan dengan pencahayaan yang cukup profesional.
Kekuatan Isan Nikah tidak hanya pada sinematografi malah dari susun atur shot, kepekaan dalam transisi setiap babak, sehinggalah perincian kecil seperti makanan kampung yang kelihatan sangat ‘cinematic’.
Satu demi satu visual ditata dengan rasa menjadikan filem ini bukan sekadar indah dari segi isi, tetapi juga bentuk.
Komedi pecah perut
Dari segi lakonan, tidak keterlaluan andai penulis menyifatkan kesemua pelakon benar-benar membawa roh watak mereka.
Gandingan Nattawut Sanyabut (Bak Kai) dan Chatchai Chinnasri (Bak Jei) ibarat nyawa filem ini. Dialog mereka bersahaja, tetapi menikam, jenaka dilontar bukan jenis ‘try hard’ sebaliknya mengalir semula jadi.
Malah, Adull Borsu sebagai Bang Dull melengkapkan trio komedi yang menjadikan panggung gamat dengan tawa dari mula hingga akhir.
Namun di sebalik kekalutan yang mencuit hati, filem ini turut menyampaikan nilai luhur tentang persahabatan, agama, kepercayaan dan budaya.

Membawa nadi komedi islamik dengan pendekatan bersahaja, Isan Nikah bukan sekadar mengundang gelak ketawa, malah turut menyuntik nilai kemanusiaan, budaya dan perjuangan cinta dua darjat.
Penonton tidak sekadar ketawa, tetapi diajak berfikir tentang makna sebenar toleransi dan kasih sayang merentasi sempadan agama serta adat sekali gus menggambarkan realiti masyarakat Muslim di sempadan Thailand, yang sering terpinggir dari arus perdana media.
Tidak ketinggalan, skrip naskhah ini juga disulam dengan dialog dalam loghat seakan-akan Kelantan, barangkali disebabkan lokasi penggambaran bersempadan dengan negeri itu. Maka, keintiman bahasa dan budaya antara dua negara menjadi begitu jujur dan ikhlas.
Paling manis, elemen romantiknya tidak perlu bersentuhan atau berlebih-lebihan, namun keindahannya tetap sampai ke hati.
Bahagian itu sendirinya cukup membuktikan betapa tingginya nilai maruah yang ditekankan dalam Islam dan menggambarkan agama penuh sopan, tetapi tidak membataskan kemanisan cinta.
Penulis tidak berhasrat merungkai jalan cerita secara terperinci. Cukuplah menyifatkan Isan Nikah sebagai komedi romantik yang matang, tidak klise dan wajib ditonton.
Isan Nikah Pengarah: Kriangkrai Monwichit Pelakon: Nattawut Sanyabut, Chatchai Chinnasri, Kamonporn Sangwatcharasoontorn, Adull Borsu Produksi: Monwichit Entertainment Tayangan: 17 Julai 2025 Durasi: 1 jam 40 minit Bintang: ★★★★★