LEBIH sedekad mencatur nasib dalam belantara seni hiburan tanah air, akhirnya nama Nadeera tidak lagi sekadar gema samar di corong radio atau pelengkap program realiti.
Penyanyi kecil molek itu kini berdiri megah dengan kejayaan tersendiri, mengibarkan panji-panji perjuangan suara dan jiwanya yang sekian lama dibakar rasa percaya dan sabar.
Langkah seni anak kelahiran Mersing, Johor itu bukan bersulam tuah semata, sebaliknya dibayar mahal dengan luka, air mata dan sabar yang tak bertepi.
Bertahun-tahun sebelum ini berkalung gelaran penyanyi ‘sendu’, pemilik nama sebenar Farah Nadeera Zaini itu kini mampu menarik nafas lega apabila bintangnya makin benderang apatah lagi selepas kejayaan lagu Bukan Lagi Kita.
Pertaruhan menjadi, lagu tersebut pantas mendominasi banyak carta muzik bahkan berjaya menjadi naib juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) sehingga menjadi antem permintaan wajib khalayak apabila dia tampil atas pentas.

DIDAKWA terlalu bergantung kepada Hael Husaini, Nadeera menjadikan kritikan itu sebagai pembakar semangat untuk menerbitkan karya sendiri. FOTO | SHIDIEQIIN ZON
Namun, seperti biasa, bila sinar sudah menyimbah, bayang-bayang mula menjelma. Muncul dakwaan kononnya Nadeera kini semakin ‘demand’ dan meletakkan harga tinggi.
Tak naik harga!
Bertemu empat mata dengan penyanyi berusia 31 tahun itu, penulis segera bertanyakan perihal tersebut supaya segalanya terjawab.
Nadeera seperti biasa, rendah diri dan tidak mudah melenting selain menegaskan harga persembahannya masih berpatutan, malah tidak pernah menuntut layanan istimewa kerana sedar dirinya bermula dari bawah.
Tak ada langsung isu harga naik. Saya masih beri harga yang sangat berpatutan dan sesuai serta ikut keadaan.
“Kadang-kadang, kalau acara itu dianjurkan pelajar universiti, saya faham kemampuan mereka. Kami akan berbincang, dan saya sangat terbuka untuk kompromi. Tiada istilah harga naik selepas dikenali.
“Saya sedar asal-usul saya, tahu bagaimana rasanya bermula dari bawah. Saya bukan jenis yang letak harga melambung. Tapi ada juga yang ambil kesempatan, minta dua tiga lagu tetapi bila hari persembahan, ada lagu lain diselit untuk nyanyi,” katanya kepada HibGlam.
Pengalaman ditipu dan dipermainkan menjadikan wanita bersuara lantang itu lebih matang dan tajam dalam menilai manusia.
Dahulu saya terlalu naif. Susah nak cakap tidak, tapi bila jumpa ramai orang bermasalah, dari situ saya belajar. Saya bina keyakinan dan belajar letak sempadan agar orang tak pijak kita sesuka hati.
“Saya sangat bersyukur, kenapa dahulu hidup saya susah. Rupa-rupanya Allah mahu saya belajar dulu. Saya dah jumpa pelbagai ragam manusia. Sekarang baru saya faham kenapa masa saya panjang untuk sampai ke tahap ini.
“Orang nampak seronok jadi artis, tapi tak tahu belakang tabir macam mana. Industri ini ada sisi gelapnya. Kadang-kadang kita sudah berhati-hati pun, tetap kena juga. Pegang satu perkara, serahkan semuanya pada Allah. Dia tahu apa yang terbaik,” ujarnya.
Enggan berlama-lama dalam topik tersebut, penulis sempat bertanyakan perihal lain. Kali ini mengenai pertukaran pengurusnya.
Bukan kaki gaduh
Hakikatnya, juara Big Stage musim kelima itu sudah tiga kali bertukar pengurus sehingga ramai beranggapan dia sebenarnya yang bermasalah, susah dikawal dan kaki gaduh.
Terkejut dengan soalan disua, Nadeera berkata, ‘pemergian’ pengurusnya sebelum ini bukan atas dasar pergaduhan mahupun bertikam lidah sebaliknya memberi ruang kepada lelaki itu fokus pada kariernya sebagai komposer.
“Pengurus saya sebelum ini, Acap, sebenarnya seorang komposer. Waktu itu saya cuma minta dia bantu uruskan kerjaya saya sementara sebelum jumpa individu yang benar-benar sesuai.

LAGU Bukan Lagi Kita meletakkan penanda aras tinggi, Nadeera mengakui sedikit risau andai lagunya selepas ini tidak mencapai tahap dan ekspektasi peminat. FOTO | SHIDIEQIIN ZON
“Bila saya jumpa pengurus yang lebih sesuai dan dia sendiri pun percaya, Acap sendiri lepaskan dengan rela hati untuk fokus kepada kerjaya hakikinya iaitu bikin muzik,” kongsinya.
Paling penting kata pelantun lagu Emas itu, dia kini juga lebih selesa kerana pengurusnya seorang wanita, memudahkan urusan terutamanya ketika berada di luar kawasan.
“Kalau isu saya dan pengurus lama bergaduh itu memang tidak benar, kami sudah berbincang dan segalanya berlaku bukan tiba-tiba.
“Lagi pun pengurus saya sekarang seorang wanita. Bila sama jantina, lebih mudah untuk kami urus banyak benda apatah lagi bila ‘out station’. Tak perlu minta dua bilik. Bila jadi apa-apa, lebih senang sebab kami sebilik untuk bantu apa-apa. Lebih memudahkan begitu,” tuturnya.
Percaturan sudah rapi
Sedar dirinya disindir sering menyanyikan satu lagu sahaja, anak bongsu daripada dua beradik itu ternyata sudah rapi dengan perancangan, malah kini bersiap siaga untuk tampil dengan karya baharu.
Lebih menarik, terdapat deretan karya baharu termasuk duet bersama Hael Husaini untuk runut bunyi drama, serta satu lagu kolaborasi filem bersama komposer tersohor, Ajai dan sebuah mini album ciptaannya sendiri.
“Saya sedang cari material yang betul-betul tepat. Saya tak mahu keluar lagu ikut sedap rasa. Bukan Lagi Kita dah jadi penanda aras, jadi karya seterusnya kena lebih kuat. Saya tak nak peminat rasa kecewa.
Beberapa lagu sudah pun dirangka, termasuk duet bersama Hael Husaini untuk runut bunyi drama dan duet bersama Ajai untuk OST filem.
“Paling istimewa, sebuah mini album juga sedang disiapkan dan saya sendiri menulis sebahagian karya tersebut. Dulu saya pernah cipta lagu untuk orang lain, tapi tak berani buat untuk diri sendiri. Tapi sekarang, dengan bimbingan Hael, saya semakin yakin,” ujarnya.
Menjawab persoalan kononnya dirinya terlalu bergantung pada Hael Husaini, Nadeera memiliki jawapan tersendiri terhadap persoalan terbabit.
“Saya memang kena ada juga ciptaan sendiri. Sekarang pun saya tengok ramai penyanyi sudah mula tulis lagu sendiri, mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada komposer lain.
“Saya pun sedang bekerja keras ke arah itu, sekarang ini tidak boleh duduk tunggu orang offer lagu sahaja,” noktahnya.