KELUANG Man antara naskhah tempatan yang paling dinanti-nantikan ramai tahun ini.
Mula menemui penonton 29 Mei lalu, naskhah yang dibintangi Nas-T, Datuk Rosyam Nor, Datuk Remy Ishak dan Shweta Sekhon itu dihujani dengan pelbagai respons.
Kepelbagaian respons itu bahkan membuka ruang perdebatan sesama mereka yang sudah menonton filem arahan Anwari Ashraf itu.
Ada yang kecewa dan ada juga memuji kerana kata mereka, tidak berhenti ketawa sepanjang menonton karya terbitan Astro Shaw itu.
Menonton filem berdurasi dua jam 17 minit itu mengundang perasaan bercampur-baur. Pujian sememangnya harus diberikan kepada Anwari kerana berjaya menterjemah sebuah watak adiwira tempatan pertama ke layar lebar.
Bukan mudah dan pastinya antara beban terbesar yang dipikul ialah prediksi peminat setia animasi yang popular sekitar penghujung era 1990-an itu.
Sejujurnya, penulis meletakkan jangkaan tinggi, apatah lagi dimomokkan dengan ‘tagline’ superhero original (OG) pertama di Malaysia.
Tidaklah berharap sehebat Batman tetapi teringin juga melihat adiwira tempatan diangkat ke tahap lebih hebat cuma malangnya, kurang menyengat.
Jadi, penulis cuba tanam dalam kepala bahawa naskhah ini merupakan ‘reimaginasi’ pengarah Keluang Man pada zaman moden dan tidak mengambil 100 peratus jalan cerita seperti animasi asalnya.
Mental
Mengisahkan Borhan seorang pesakit mental di Hospital Bahagia Tampoi dan mempunyai ‘suara’ lain dalam dirinya, Anwari berjaya mengangkat isu penyakit skizofrenia dengan baik.
Di sini, kredit juga perlu diberikan kepada pemilik ‘suara’ tersebut iaitu Halim Othman. Suaranya berjaya membuatkan ‘penonton’ melayan dan masuk dalam dunia ‘gila’ Borhan. Lucu, diselitkan lelucon program roda impian pula!
Mesej utama naskhah ini adalah tentang Borhan yang penulis sifatkan sebagai anti-hero mahu membalas dendam terhadap bapa angkatnya.
Selain Borhan yang sakit mental, Anwari juga menabur kegilaannya sendiri iaitu menyelitkan lagu-lagu popular sepanjang babak pertarungan Keluang Man dengan pihak musuh.

NAS-T menterjemah karakter Borhan atau Keluang Man dengan cemerlang.
Awalnya rasa janggal tetapi itu kelainan yang berani dibentangkan dalam filem tersebut iaitu membawa penonton terutama yang lahir era 1990-an melayan nostalgia mereka dengan pelbagai lagu popular sekitar awal tahun 2000-an.
Lagu Sha Na Na (Amy Mastura), Fiona (4U2C), Terhangat Di Pasaran (KRU), parodi watak filem Maria Mariana dan kemunculan kumpulan Senario, itu antara elemen nostalgia yang digunakan.
Sayangnya, formula tersebut adakalanya ‘kena’ tetapi banyak kali rasa mengganggu momentum dan mencelarukan jalan cerita sehingga hilang fokus.
Dalam sesetengah babak, elemen nostalgia yang terlalu banyak membuatkan Keluang Man itu menjadi ‘secondary character’.
Mungkin kalau generasi baharu yang menonton, sukar untuk mereka memahami ‘jiwa’ dan lawak tersebut.
Pelakon, CGI
Berbicara tentang Nas T sebagai Keluang Man, pada awalnya ramai meragui kemampuan aktor berusia 41 tahun bahkan dia juga mengakui risau dengan penerimaan penonton.
Namun, pujian perlu diberikan kepada Nas T atas kerja keras untuk membawa jiwa Borhan yang umum tahu tidak mudah.
Tidak terlalu ‘try hard’ tetapi jiwa itu ada. Hero loyar buruk dengan perangai ‘random’ ala-ala Deadpool — sekurang-kurangnya dia berusaha mewujudkan elemen humor tanpa paksaan.
Pemilihan Rosyam sebagai ayah Mad dan Remy (Shamsir) pastinya satu pilihan yang tepat.
Tak perlu nak ulas kualiti lakonan mereka, namun babak aksi pertarungan mereka dengan Keluang Man pasti menjadi momen kegemaran ramai.
Sementara, Shweta (doktor Malini) dan Anwaar Beg Moghal (Inspektor Sahab) menambahkan lagi ‘rasa’ untuk filem ini. Tidak berlebihan tetapi cukup.

Sinergi lakonan antara Nas-T (kiri sekali) dengan Rosyam sebagai ayah Mad dan Remy (Shamsir) wajar diberikan pujian.
Melihat ramai yang mengkritik kualiti kesan khas (VFX) atau teknik janaan komputer (CGI) dalam filem ini, penulis secara peribadi berasakan kualiti dipolemikkan tidaklah seburuk disangka.
Mungkin ada yang tidak berpuas hati dengan imej CGI watak Bebe iaitu seekor kucing berwarna oren di hospital mental Borhan dirawat.
Sebenarnya logik untuk hasilkan watak haiwan menggunakan CGI sebab hakikatnya memang sukar dapatkan pelakon seekor kucing yang boleh ‘dengar’ arahan pengarah.
Keseluruhannya, tidak merugikan pun untuk pergi menonton Keluang Man di pawagam kerana tetap menghiburkan cuma jangan letak harapan terlalu tinggi.
Kalau ditanya sama ada akan ke pawagam untuk menonton sekali lagi, mungkin tidak. Paling pasti, anda akan pulang dengan lagu Fiona terngiang-ngiang dalam kepala.
Keluang Man Pengarah: Anwari Ashraf Pelakon: Nas T, Datuk Rosyam Nor, Datuk Remy Ishak, Shweta Sekhon Genre: Aksi, komedi Bintang:★★★☆☆