‘Tak fasih bahasa Punjabi, kawan saya ramai Melayu’

MESKIPUN berbangsa Punjabi, pelakon dan ratu cantik Shweta Sekhon mengakui kurang mahir bertutur dalam bahasa ibunda.

Menyedari kekurangan itu, Shweta atau nama lengkapnya Shwetajeet Kaur Sekhon, 28, belajar semula bahasa Punjabi daripada neneknya selain mendapat bantuan rakan pelakon, Anwaar Beg Moghal di set penggambaran.

“Sejujurnya, saya lagi fasih berbahasa Melayu berbanding bahasa ibunda (Punjabi) sebab saya sekolah kerajaan, manakala kawan karib semua orang Melayu.

Tak pernah cakap bahasa Punjabi tetapi sebab filem Keluang Man saya ambil peluang duduk dengan nenek dan buat kerja rumah.

“Saya mula bertutur dalam bahasa Punjabi dan tengok cerita Punjabi. Anwaar lebih fasih, jadi dia banyak tolong saya,” katanya kepada HibGlam selepas majlis tayangan gala Keluang Man, semalam.

Pada masa sama, bagi memastikan lakonannya memenuhi kehendak skrip, pelakon drama X-Change itu mengulang kaji siri popular animasi Keluang Man sebelum memulakan penggambaran.

Pada hari saya dapat skrip, saya terus buat kerja rumah. Ibu saya tahu Keluang Man tetapi saya bukan generasi itu.

“Jadi, saya memang kena buat ulang kaji. Untuk merealiasikan watak Doktor Malini, saya kena faham dan kenal karakter ini,” ujarnya.

Selain Shweta, filem arahan Anwari Ashraf itu dibintangi Nas-T, Datuk Remy Ishak dan Datuk Rosyam Nor.

Keluang Man merupakan siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an dan filem superhero ikonik Malaysia yang memulakan penggambaran pada 4 Mei tahun lalu.

Filem berdurasi 132 minit itu akan menemui penonton Malaysia dan Brunei bermula 29 Mei ini – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok