67 masih ‘berbisa’, Amy Raja Rock sejati

PADA usia 67 tahun, Amy Search masih mampu melontarkan vokal dan tampil energetik sepanjang dua jam beraksi di Axiata Arena, malam Ahad lalu.

Meskipun tarikh Amy Magic Concert yang menjadi konsert solo pertamanya bertembung dengan Final Piala Malaysia di Bukit Jalil, jumlah 4,000 kehadiran di Axiata Arena, boleh diberi tepukan memandangkan kegilaan peminat terhadap JDT seperti sukar dihitung.

Amy selaku rockers ikonik dengan pengaruh mengatasi skop vokal bahkan mempunyai penggemar tegar. Boleh dikatakan rata-ratanya sekian lama menanti untuk menjadi sebahagian saksi sebuah sejarah konsert solo mega pertamanya selepas empat dekad menempa nama dalam industri muzik.

Sedia maklum tentang kesesakan dahsyat ekoran pertembungan dua acara besar di Bukit Jalil, penghibur kesayangan ramai itu datang lebih awal ke Axiata Arena bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Tepat pukul 9.10 malam, pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman memanaskan pentas dengan rangkaian lagu solonya iaitu Gita Rama Sita, Aku, Apa Saja, Suralaya Dalam D Major, Mengintai Kelawar, Ghairah dan Kau Bukan Saduran.

Seleksi tersebut dipersembahkan dengan iringan 13 pemuzik diketuai Jennifer Thompson selaku penerbit konsert yang juga merupakan penghargaan 44 tahun Amy bergelar ‘rockstar’.

Tidak berceloteh panjang, vokalis kumpulan Search itu menyajikan video klip memaparkan pahit getir penghijrahannya dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk bergelar penyanyi.

Hillary Ang

Lebih istimewa, Amy ditemani pemain gitar legenda, Hillary Ang sekali gus memberikan ‘homage’ kepada rakan baiknya itu.

“Hai semua, masa yang baik untuk Amy dan saya sangat berbangga dengannya,” kata Hillary yang merupakan antara pendorong kerjaya seni Amy.

Momentum persembahan diteruskan pula dengan dendangan lagu mesra telinga Search iaitu Kau Pergi, Gadisku, Rozana, Fantasia Bulan Madu dan Pawana.

Sebagai apresiasi buat rakan sealiran, khususnya sifu Datuk M. Nasir yang menghidupkan obor rock star dalam dirinya, penghibur tersohor itu memilih untuk memperdengarkan lagu Suatu Masa (M. Nasir), Ku Di Halaman Rindu (Lefthanded) serta Sejuta Wajah (Sweet Charity) dengan secukup rasa.

Di sebalik pemilihan tiga lagu, Amy benar-benar berterima kasih buat nama-nama besar itu yang sangat signifikan dengan hayat seninya.

Lebih mengagumkan, Amy juga sanggup turun dari pentas melayani peminat sekali gus menunjukkan stamina luar biasa bagi individu berusia emas.

Barangkali Axiata serta sokongan penonton yang sanggup datang dari seluruh pelosok negara memberi aura luar biasa.

Malah dia juga sempat menggunakan peluang untuk mencari dan memeluk rakan baiknya juga anggota Search, Nasir Daud yang turut menjadi saksi momen tersebut.

Selain Nasir, beberapa artis lain hadir memeriahkan konsert termasuk Che Puan Sarimah Ibrahim, Azharina, Man Kidal, Akim Ahmad, Ella, Aweera, Ning Baizura, Datuk Sheila Majid dan Adlin Aman Ramli.

Anak Johor

Meskipun fokus kepada persembahan, Amy tidak lupa tentang perlawanan JDT dan Sri Pahang FC di Stadium Nasional yang terletak bersebelahan Axiata Arena.

JDT menang 2-1 malam ini. Di sebelah sana ada Johor dan di sini pun ada anak Johor juga.

“Terima kasih semua yang hadir dalam pelayaran sebagai penyanyi di hujung karier saya ini,” ujarnya seraya meneruskan persembahan dengan lagu Kau Kepala Sotong, Apache, Kongkang, Rentak Laguku dan Kalimah Cinta.

Tidak seperti pada 10 mungkin 30 minit pertama yang kebanyakan memperdengarkan lagu-lagu bukan mesra telinga bagi bukan peminat tegar, pemilihan Tinggal Sepi, Aku Dah Bosan, Saat Yang Ku Idamkan, Kerja Gila dan Tiada Lagi bagi melengkapkan 21 seleksi lagu konsert solo kali ini cukup memberi kenikmatan.

Terasa Amy begitu jujur dan bersungguh-sungguh memberi sepenuh hati. Jarang benar dia menghulurkan mikrofon berbagi nada tinggi dan lirik lagu dengan peminat yang impaknya dia dituduh buat kerja mudah di atas pentas.

Hujungnya, kisah konsert solo bahkan barangkali persembahan terbaik Amy setidak-tidaknya untuk setahun dua kebelakangan ini berkesudahan dengan Isabella, lagu wajib. Jika tiada, mungkin stadium boleh terbakar kecewa seperti kata Amy sebelum mula berdendang.

Amy, tahniah! Tiada lagi perlu diperjelaskan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok