BARISAN penyampai segmen 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin meluahkan rasa syukur dapat kembali ke konti selepas berehat hampir sebulan.
Menurut tiga penyampai itu, hikmah terbesar yang diperolehi adalah ikatan silaturahim antara mereka semakin utuh selain menerima sokongan luar biasa daripada rakyat Malaysia.
“Kami harungi kontroversi ini bersama-sama. Kami menangis bersama-sama. Ketika kejadian tersebut berlaku kami memang sangat tertekan. Bayangkan kami tak dibenarkan masuk ke Astro.
Bila kejadian sebegini terjadi, kami tak sangka akan mendapat kasih sayang dan sokongan daripada rakyat Malaysia. Ada netizen berbangsa India yang tunjukkan sokongan kepada kami dengan beritahu bahawa kami tak salah.
“Beribu mesej yang kami terima daripada netizen dalam media sosial. Beratus-ratus mesej dalam aplikasi Whatsapp yang sampai tak terbalas. Rakan-rakan daripada stesen radio lain juga mesej bertanya khabar. Itu yang membuatkan kami betul-betul terharu,” kata mereka ketika ditemui di majlis rumah terbuka Radio Era baru-baru ini.
Ditanya apa aktiviti yang dilakukan mereka bertiga sewaktu direhatkan sementara daripada ke udara, kata Nabil dia banyak meluangkan masa di masjid.
Sebelum ini saya selalu beritahu mereka berdua dah lama tak keluar ke masjid dan sertai kumpulan tabligh. Akhirnya Allah bagi peluang untuk saya. Memang sepanjang Ramadan baru-baru ini saya banyak luangkan masa beribadah di masjid,” kongsinya.
Bagi Azad pula, peluang direhatkan sementara digunakan sepenuhnya untuk luangkan masa bersama keluarga di rumah.
Saya terharu kerana jiran-jiran saya kebanyakannya berbangsa India. Mereka semua memberikan kata-kata semangat untuk saya dan berkata apa yang berlaku adalah permainan dunia dan minta untuk saya kekal tenang,” ujarnya.
Sepanjang 11 tahun berkhidmat sebagai penyampai Era, kata Radin ini kali pertama dia bercuti panjang.
Saya tidak pernah bercuti selama ini. Mungkin Allah nak beri saya peluang untuk berehat panjang. Sepanjang berehat banyak perkara yang saya pelajari terutamanya dari segi hikmah yang berlaku dalam setiap kejadian,” jelasnya.
Terpalit dengan kontroversi besar sehingga menjadi tajuk berita nasional, ketiga-tiga mereka akan lebih berhati-hati namun tetap menjadi diri sendiri.
Kami tetap akan jadi diri kami sendiri. Cuma selepas ini setiap langkah yang diambil untuk berkongsi sesuatu dalam media sosial akan ditapis dengan lebih ketat. Kami sendiri akan melihat terlebih dahulu video yang akan dikongsikan sebelum dimuat naik,” ujar mereka.
Terdahulu pada Mac lalu barisan penyampai 3 Pagi Era berdepan kontroversi apabila mereka dikatakan mempersendakan upacara agama Hindu.
Rentetan insiden itu, pihak Astro mengambil keputusan untuk merehatkan mereka sehingga 7 April 2025. – HIBGLAM