SUDAH menjadi adat kehidupan, tidak semua hari bersinar bak mentari, bukan setiap waktu berbalut pelangi.
Adakala langit jiwa mendung, ada waktu hujan luka turun tanpa henti. Hakikatnya, hidup ini bukanlah dataran indah ditaburi bunga semata-mata sebaliknya laluan berliku yang menuntut darah dan air mata.
Barangkali itu yang dirasai pelakon tampan Hun Haqeem sekarang.
Mana tidaknya, Hun, 27, kebelakangan ini sering memuat naik hantaran berbaur pilu dan melankolik lantas sekelip mata, peminat mula berteka-teki adakah hatinya itu sedang berbalut luka akibat cinta.
Berpeluang bertemu empat mata, penulis sempat bertanyakan perihal terbabit agar semuanya terjawab.
Hanya tersenyum, pemilik nama sebenar Haqeem Hermy itu menafikan spekulasi cinta retak, sebaliknya mengakui dirinya kini berada dalam satu fasa muhasabah yang mendalam.
Bukan sebab putus cinta, bukan sedih pun. Cuma saya dalam fasa ‘melankolik’ sedikit, umur pun sudah 27 tahun. Banyak perkara saya fikirkan, terutamanya hal diri dan kerjaya.
“Kita semua melalui fasa macam begini kan? Bukan kerana duka sangat pun, cuma kadang-kadang kita tercari-cari makna hidup. Apa lagi yang boleh kita beri kepada hidup ini?
“Kadang-kadang perlu langkah ke belakang sejenak untuk faham siapa diri kita sebenarnya,” katanya kepada HibGlam.
Ironinya, aktor asal Sarawak itu bukan menderita terhimpit kecewa dek cinta. Sebaliknya, dia sedang menyusun langkah, membina harapan.
Sebagai pelakon, Hun mula diangkat sebagai antara aktor muda paling menyerlah. Lakonannya yang penuh jiwa disifatkan sebagai magis, tidak hairan jika ramai melihatnya bakal menjadi fenomena masa depan.
Pun begitu, pujian tidak memabukkan akal malah pelakon filem Soloz: Game of Life itu masih dan sentiasa berpijak di bumi nyata.
Saya bersyukur ramai mula hargai kehadiran saya. Tapi tekanan itu memang akan sentiasa ada. Kita ni, setiap kali bekerja, memang nak beri yang terbaik.
“Tapi dalam tekanan tu, saya cuba untuk berseronok. Saya jatuh cinta dengan dunia seni sebab karya-karya hebat senior kita dulu macam arwah Yasmin Ahmad. Semua karyanya mempunyai roh dan impak mendalam.
“Saya mahu hasil kerja saya pun ada jiwa begitu, yang buat orang tengok dan ingat sampai bila-bila,” ujarnya.

Hun kini muncul dengan drama terbaharu berjudul Honey Mintak Maaf bersama gandingannya, Anna Jobling.
‘Lakonan biar ada rasa’
Baginya, lakonan bukan semata-mata kerja sebaliknya adalah seni menyentuh hati. Impaknya harus kekal di ingatan penonton, bukan sekadar hadir dan hilang.
“Saya mahu generasi baharu yang tengok saya berlakon, rasa terinspirasi seperti mana saya dahulu menonton Senario. Cerita yang ringkas, tetapi sangat menyentuh dan kekal dalam ingatan. Itulah yang saya kejar sekarang.
“Yang penting, lakonan saya biar ada rasa, biar beri kesan. Saya tak mahu lakonan kosong. Walau seberat mana tekanan, saya akan terus kejar impian itu,” katanya.
Paling penting katanya, seni bukan sekadar pentas sementara sebaliknya, warisan perasaan untuk dikenang, dirasa dan dijiwai selamanya.
Bercakap tentang perkembangan terbaharu, Hun kini sedang mempersiapkan diri untuk kembali ke set penggambaran bagi drama baharu terbitan Astro Ria.
Dalam masa sama, dia aktif mempromosikan drama bersiri Honey Mintak Maaf bersama gandingannya, Anna Jobling.