Dakwa difitnah, penerbit mahu saman pengarah RM1 juta

PETALING JAYA – Reputasi tercalar, penerbit filem Misteri Fraser 1910, Millionaire Films Production Sdn. Bhd. menuntut permohonan maaf daripada pengarah, Shuhaimi Zulkefli berhubung kenyataan fitnah disebarkan.

Dalam kenyataan melalui Tetuan Ras & Co, penerbitnya, Amai Kamarudin dan Elani Aidid memaklumkan saman mereka membabitkan dakwaan pihak terbabit dalam media sosial bahawa syarikat berkenaan tidak membayar gaji kru sehingga filem itu disekat daripada tayangan.

Kami mahu Shuhaimi menarik balik secara terbuka dan membuat permohonan maaf bertulis dalam bentuk yang diluluskan oleh kami, hendaklah disiarkan di platform media sosial sama selain memadam hantaran asal dan mana-mana hantaran berkaitan, termasuk sebarang komen tambahan atau balasan komen merujuk kepada kami.

“Selain itu, kami mahu Shuhaimi memberikan akuan bertulis tidak akan mengulangi atau menyebarkan sebarang kenyataan yang berunsur fitnah serta membayar ganti rugi dan kos guaman yang telah ditanggung,” katanya.

Difahamkan pada atau sekitar 23 Mac 2025, Shuhaimi telah berkongsi satu pautan artikel bertajuk ‘Produksi culas bayar gaji kru dan pelakon, filem disekat tayangan’ yang disebarkan melalui akaun media sosial miliknya.

Kemudian pada bahagian ruangan komen pautan artikel berkenaan, seorang individu bernama Amir Muhammad bertanya ‘alamak, filem fraser tu?’ dan Shuhaimi telah menjawab ‘Amir Muhammad ye bang’.

Sehubungan itu, pihak penerbit menegaskan sekiranya Shuhaimi gagal memberikan sebarang maklum balas yang memuaskan dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh surat tuntutan dihantar, mereka berhak memulakan tindakan undang-undang tanpa notis lanjut.

Kos ganti rugi minima yang akan kami mohon di Mahkamah Tinggi adalah RM1 Juta, mengambil kira kos pembikinan filem, pasca produksi, pengedaran dan pemasaran yang terjejas setelah fitnah Shuhaimi diterbitkan.

“Untuk makluman semua melalui surat rasmi dari Skim Wajib Tayang Finas, filem kami bergenre sejarah fiksyen
Misteri Fraser 1910 yang diinspirasikan dari kisah benar kehilangan peneroka Fraser Hill telah mendapat tarikh tayangan di pawagam pada 26 Jun 2025,” ujarnya.

Susulan itu, kenyataan dibuat Shuhaimi iaitu mendakwa filem terbabit disekat tayangan kerana produksi culas bayar gaji kru dan pelakon adalah fitnah semata-mata.

Tuntutan ini dibuat bukanlah kerana ingin mengejar pampasan berbentuk wang tetapi lebih kepada membersihkan nama baik produksi yang tercalar sejak fitnah ini dibuat.

“Kami menganggap hanya dengan prinsip Undang-undang saja dapat mengembalikan maruah kami yang hilang,” katanya.

Difahamkan ini adalah filem pertama arahan Shuhaimi melalui pemilihan produksi yang mendapat Dana Kandungan Kreatif (FAME) First Time Amateur Filmmaker yang dibiayai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada Oktober 2023.

Misteri Fraser 1910 dibintangi Datuk Rahim Razali, Josiah Hogan, Siti Hariesa, A Galak dan Isyariana. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok