BILA sebut sahaja nama Kareena Kapoor, pasti ramai terbayang kejelitaan wajahnya serta lakonan yang meninggalkan kesan.
Antara yang berbekas di hati pencinta filem Bollywood pastinya watak Poo dalam filem ‘blockbuster’ Kabhie Kushi Kabhie Gham.
Tahun ini Kareena yang juga adik kepada aktres, Karisma Kapoor itu menyambut ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam industri perfileman Bollywood.
Sepanjang suku abad bergelar pelakon, Kareena telah terlibat dalam pelbagai jenis filem dan merangkul banyak anugerah. Malah, pada satu ketika dia pernah bergelar aktres menerima bayaran tertinggi di India.
Biarpun berjaya memahat nama sebagai heroin popular Bollywood, Kareena sering dikritik tentang pemilihan filem.
Banyak filem lakonannya gagal di pawagam dan mendapat ulasan buruk.
Namun, tahukah anda, Kareena sebenarnya telah menolak banyak filem hebat yang ditawarkan kepadanya.
HibGlam senaraikan lima filem popular yang pernah ditolak Kareena Kapoor.
Kaho Naa Pyar Hai
Kareena sepatutnya memulakan debutnya menerusi filem blockbuster, Kaho Naa Pyar Hai di samping Hrithik Roshan pada tahun 2000.
Ketika menjalani penggambaran, dia tiba-tiba menarik diri kerana mahu lebih menonjol dan wataknya digantikan Ameesha Patel.
Kareena kemudian membintangi filem Refugee.Malangnya Refugee gagal di pawagam, manakala Kaho Naa Pyar Hai menjadi filem terbesar dan dicatatkan dalam Guinness World Of Record sebagai naskhah paling banyak menerima anugerah.
Queen
Kareena Kapoor merupakan pilihan pertama untuk melakonkan watak utama dalam filem Queen pada 2014. Watak itu kemudiannya diberikan kepada Kangana Ranaut.
Filem tersebut telah mendapat ulasan positif dan diterima baik peminat filem Bollywood. Kangana turut meraih pelbagai anugerah menerusi wataknya sebagai Rani. Malah, filem tersebut melonjakkan nama Kangana sebagai antara pelakon wanita terbaik Bollywood.
Kal Ho Naa Ho
Filem terbitan Karan Johar itu pada asalnya ditawarkan kepada Kareena Kapoor sebelum akhirnya jatuh ke tangan Preity Zinta.
Kareena pada mulanya bersetuju untuk membintangi Kal Ho Naa Ho, namun dia meminta jumlah bayaran yang sama dengan hero filem tersebut iaitu Shah Rukh Khan membuatkan Karan Johar berkecil hati. Mereka bermasam muka selama setahun sehinggalah bapa Karan meninggal dunia.
Tuah buat Preity Zinta apabila dia telah meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Filmfare menerusi lakonan hebatnya dalam filem tersebut.
Chennai Express
Sebuah lagi filem blockbuster yang ditolak Kareena adalah filem Chennai Express arahan Rohit Shetty. Kareena pernah berlakon di bawah arahan Rohit menerusi filem Singham.
Namun, kali ini Kareena terpaksa menolak daripada membintangi Chennai Express kerana jadual penggambaran bertindih dengan filem Taalash. Watak Kareena akhirnya diberikan kepada Deepika Padukone.
Fashion
Filem Fashion lakonan mantap Priyanka Chopra dan Kangana Ranaut yang mengisahkan tentang sisi gelap dunia fesyen telah mendapat ulasan positif daripada pengkritik filem di India.
Namun, tahukah anda watak Priyanka pada asalnya ditawarkan kepada Kareena.
Priyanka dan Kangana meraih pujian melambung dan berjaya menggondol Anugerah Kebangsaan (National Award) menerusi watak mereka dalam filem tersebut.