‘Mak Jenny takut bedah lutut tak boleh jalan lagi’

PENYANYI Nubhan mendedahkan ibu tersayang, Badariah Omar atau Mak Jenny, 80, takut dengan momokan orang sekeliling yang mendakwa individu seusianya tidak boleh berjalan lagi sekiranya melakukan pembedahan lutut.

Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Haji Ahamad berkata, hati ibunya kini berbolak-balik untuk meneruskan pembedahan namun sebagai anak dia hanya menginginkan yang terbaik.

“Saya dah tanya pakar. Masalah lutut mak saya dah tahap empat, dah ‘haus’. Kalau kita buat rawatan suntikan (pada bahagian lutut), dah tak jadi (jalan).

Doktor saran untuk lakukan pembedahan tapi mak tak nak dengar cakap. Dia lebih dengar cakap kawan-kawan dan mak cik sambal belakang rumah (ketawa).

“Dia dimomokkan dengan pendapat kawan-kawan yang mengatakan kalau bedah nanti tak boleh jalan lagi. Sekarang tunggu mak buat keputusan, kena yakinkan dia buat pembedahan,” katanya kepada HibGlam.

Jelas pelantun lagu Ada Untukmu itu, doktor mencadangkan pembedahan kerana selagi ibunya masih boleh berjalan seperti sekarang, proses penyembuhan lebih tinggi berbanding usia lebih lanjut nanti.

“Doktor kata, waktu mak boleh lagi berjalan, boleh buat ‘full knee replacement’. Kalau dah tak boleh berjalan, buat pembedahan pun tak guna.

Ketika pembedahan buang rahim dulu, doktor pernah cakap ada kemungkinan mak tak bangun sebab usia sudah banyak. Tapi alhamdulillah, Allah permudahkan urusan.

“Untuk lututnya juga saya harap begitu. Mak pula memang suka berjalan dan terbang sana sini, saya mahukan yang terbaik buatnya,” kata Nubhan lagi.

Mak Jenny popular selepas Nubhan, 40, berkongsi video-video lucu bersama syurganya itu yang kemudiannya menjadi trending dalam kalangan netizen bahkan menerima tajaan melancong dan sebagainya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok