MEMBUKA tirai konsert minggu pertama pada Ahad lalu, pentas Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) boleh dilihat sebagai pentas yang berjaya untuk mencari bakat baharu ketika ini.
Mungkin terlalu awal untuk dinilai, namun sekiranya melihat bakat dimiliki 14 finalis yang berjaya, ternyata ada kelainan ingin dicari barisan juri tetap iaitu Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain dan Cakra Khan.
Menurut Yusry, bagi mencari permata baharu yang memiliki bakat nyanyian terbaik secara tuntas, mereka sudah melakukan penilaian awal terhadap peserta.
Bagaimanapun, markah persembahan peserta pada minggu pertama CSOIAM pada Ahad lalu turut diambil kira dengan menjalankan penilaian daripada pelbagai aspek khususnya nyanyian dan penampilan.
Enggan melahirkan bakat yang klise, Yusry menegaskan mereka mencari penyanyi dengan kualiti dan keunikan yang mungkin jarang ditemui dalam arena muzik tempatan.
“Minggu pertama ini ada 20 peserta dan setiap daripada mereka diberi masa satu minit setengah untuk menentukan masa depan mereka lagi beberapa tahun. Memang tak cukup masa untuk buat penilaian.
Jadi, untuk berlaku adil, pihak produksi memberi kami (juri) peluang untuk membuat penilaian awal berdasarkan persembahan mereka dalam fasa saringan sebelum ini.
“Selain malam konsert, markah kami juga berdasarkan persembahan yang penonton belum pernah tonton. Hasilnya memang enam peserta tersingkir itu mempunyai markah terendah sebab kami mencari keunikan dan bakat yang berbeza,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Selain bakat, dia juga mahu mencari individu yang mempunyai pakej lengkap agar bakat dimiliki peserta terus meledak sebaik program realiti itu melabuhkan tirai malah kekal dalam tempoh lama.
Jelas beliau, salah seorang peserta iaitu Rezza Shah yang pada awal tersingkir, namun diselamatkan dengan ‘imuniti’ daripada ketiga-tiga juri tetap menjadi antara usaha untuk membantu penyanyi berbakat terus membuktikan kemampuan.
Bagi Rezza yang pada awal tersingkir tetapi diselamatkan dengan imuniti, kami rasa dia dapat memberikan sesuatu yang berbeza daripada penyanyi lain.
“Saya fikir kalau ‘tone’ suara sebegitu mungkin jarang kita dapat. Ini tanggungjawab kami untuk menentukan masa dengan peserta sebaik pertandingan ini berakhir. Kami tidak mahu membantutkan perjalanan mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, anggota kumpulan KRU itu berkata, setiap peserta perlu menggali bakat sendiri agar kelainan dapat diserlahkan pada konsert mendatang.
“Ini pertandingan nyanyian, adakah 20 peserta perlu jadi pemenang? Memang semua boleh menyanyi, jadi kami perlu cari peserta yang mempunyai nilai ‘X factor’ iaitu berbeza daripada peserta lain.
Kita mencari penyanyi yang bukan hanya mampu menyanyi sahaja, tapi mungkin ada banyak perkara lagi boleh ditawarkan kepada industri.
“Tak mahu suara yang boleh kita dengar di mana-mana dan seperti orang lain. Kalau boleh bila dengar suara, kita sudah mampu kenal siapa penyanyi itu,” ujarnya.
Sementara itu, Ziana mengakui mencari peserta yang mempunyai pakej lengkap merangkumi bakat, rupa dan disiplin untuk diangkat dalam program realiti yang kembali selepas 15 tahun ini.
“Sebagaimana saya cakap sebelum ini, untuk menjadi penyanyi perlu ada pakej. Kalau menyanyi sedap tapi rupa tiada, inilah industri kita.
Bila peserta ada tiga aspek iaitu bakat, rupa dan disiplin tetapi mereka tidak dibantu, sayang. Kami turut membuat pemilihan ini selepas mendengar nyanyian mereka daripada pelbagai aspek.
“Sebelum peserta membuat persembahan pada minggu pertama, kami sudah lihat dalam sesi penilaian awal sebelum ini. Saya lihat ada peserta yang mempunyai potensi dan peluang besar untuk menyinar, jadi saya mencari sebutir berlian ketika ini,” ujarnya.
Pada konsert minggu pertama CSOIAM, Kai Deva yang sebelum ini merupakan buskers atau penyanyi jalanan berjaya menambat hati juri apabila diumumkan sebagai peserta Terpaling Fizz selepas mendendangkan lagu Nidji iaitu Sumpah dan Cinta Matiku.
Pemilihannya sebagai juara mingguan pertama sepertinya mendapat ‘restu’ penonton apabila emosi yang disampai berjaya memukau ramai ditambah kemerduan suara serak basahnya.
“Syukur sebab bukan senang nak terpilih dan ramai lagi peserta yang hebat dan layak.
“Memang terkejut ketika nama diumumkan tetapi mungkin rezeki saya pada minggu ini, alhamdulillah,” kongsinya.
Pada Ahad lalu, seramai 14 berjaya menempatkan diri sebagai Top14 iaitu Zazzleen, Eylia Guntabid, Hafiz Zainal, Aniq Iffat, Mariam, Kai Deva dan Alya Mardien.
Sementara tujuh lagi yang layak ialah Erfarina, Trio XL, Marygrace, Dhania, Dayangku Iffah, Jimi dan Reza (imuniti juri). – HIBGLAM