PENANTIAN tiga dekad bukan satu jangka masa yang singkat buat seorang penyanyi tampil dengan konsert solo.
Repertoire yang dimiliki penyanyi ini bukan calang-calang. Namun entah di mana silapnya beliau tidak pernah diberikan kesempatan untuk mengadakan konsert sebelum ini meski pernah memenangi pelbagai anugerah.
Begitu pun, tanggal 18 Disember lalu menjadi kenangan terindah buat Datuk Nora Ariffin apabila impiannya untuk beraksi dalam konsert solo akhirnya terlaksana menerusi Konsert Hanya Satu 30 Years Journey yang berlangsung di PJ PAC.
Impian itu bukan sahaja menjadi idaman Nora malah turut diimpikan arwah suaminya iaitu Allahyarham Johan Nawawi yang menjadi tulang belakangnya dalam industri muzik.
Konsert pada malam itu dibuka dengan lagu rancak Rentak Jantung bagi menaikkan semangat penonton yang hadir. Nora tampil dalam busana berkilau rekaan Rizman Ruzaini. Aura bintangnya terserlah saat tubuhnya dilimpahi sinar lampu pentas.
Kelihatan wajah terharu Nora saat menyapa hadirin buat kali pertama. Dia tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sanggup hadir menonton persembahannya.
Pernah terkubur
“30 tahun saya menanti saat ini. Tak pernah terfikir malam ini akan jadi realiti. Terima kasih kepada anda semua yang sudi meluangkan masa dan menghabiskan duit untuk menonton persembahan saya.
Sejujurnya selepas arwah suami saya meninggal dunia, hasrat untuk buat konsert telah terkubur. Saya rasa mungkin bukan rezeki saya untuk punya konsert sendiri. Dan, saya mahu tutup buku.
“Tetapi tiba-tiba tahun lepas saya dikhabarkan My Creative Ventures ada menawarkan dana untuk penyanyi menganjurkan konsert. Jadi, saya dan rakan mengambil kesempatan ini untuk merealisasikan impian yang sudah lama tersemat di hati,” katanya.
Konsert pada malam itu diteruskan dengan rangkaian lagu malar segar dendangan Nora yang dibahagikan kepada beberapa segmen.
Nora memukau penonton dengan lagu Sandiwara yang merupakan lagu pengenalannya dalam arena muzik tanah air.
Seluruh dewan bersorak apabila dia berjaya menyampaikan lagu bernada tinggi ciptaan Saari Amri itu dengan cemerlang.
Kemudian Nora terus membuai penonton dengan lagu Menyemai Cinta Bersama yang pernah dinobatkan lagu terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-7. Menurut Nora lagu tersebut paling sukar disampaikan pada malam itu.
Selain Johan Nawawi, Allahyarham Adnan Abu Hassan juga banyak memberikan sentuhan magisnya buat Nora. Antara lagu hit ciptaan arwah adalah Renungan Terakhir, Dendam Dalam Diam, Di Persimpangan Dilema dan Interlude.
Kesemua lagu itu disampaikan Nora dengan penuh perasaan sekali gus mengimbau semua memori yang pernah tercipta bersama karya-karya hebat tersebut.
Enggan membiarkan penonton larut dalam emosi, Nora kembali menghangat pentas dengan seleksi lagu rancak dan tradisional iaitu Materialistik, Joget Kelantan dan Desa Tercinta.
Meriah jadinya seluruh dewan tatkala Nora turun dari atas pentas menyapa para peminatnya sewaktu menyampaikan lagu Desa Tercinta.
Sempat Nora berkongsi cerita bagaimana lagu itu tercipta. Kongsinya, Desa Tercipta dihasilkan Johan sewaktu mereka dalam perjalanan pulang ke kampung di Kelantan.
Sewaktu itu kami melalui kawasan sawah di Gua Musang. Kemudian Johan tiba-tiba mendapat ilham dan dia berhenti di pondok telefon awam untuk merakamkan nada lagu tersebut untuk dihantar kepada ‘pager’. Ketika itu belum ada telefon pintar untuk rakam. Bila sampai rumah di Kuala Lumpur, dia terus siapkan lagu tersebut,” kongsinya.
Tampilkan arwah Johan Nawawi
Tidak lengkap rasanya konsert ini jika tidak diselitkan tribute khas untuk Johan. Nora membuat kejutan dengan berduet bersama ‘arwah’ menggunakan teknologi Artificial Intelligence (AI) menerusi lagu Pinta. Dia turut menyampaikan rangkaian lagu ciptaan Johan seperti Naluri dan Jentayu.
Nora turut menampilkan tiga anaknya iaitu Syakir Iman, Putri Dahlia dan Putri Fathehah menyampaikan lagu Selamanya Bahagia. Suasana tiba-tiba menjadi sayu apabila anak beranak itu bersatu di atas pentas mendendangkan lagu ciptaan Johan.
Biarpun perasaan kasihnya terhadap Johan sentiasa mekar, Nora tetap menghargai suami baharunya iaitu Dr. Rushdi Ramli yang disifatkan sebagai penyelamat tatkala dirinya ibarat terkapai-kapai di tengah lautan.
Terima kasih kepada suami kerana mengizinkan saya merealisasikan impian mengadakan konsert. Dia juga mengizinkan saya buat segmen tribute untuk arwah Johan kerana dia sangat menyayangi Johan,” ujarnya.
Pada malam itu Nora menutup persembahannya dengan Samudera dan Hanya Satu yang disifatkannya antara lagu yang memberi semangat setiap kali berdepan seribu satu cabaran.
Biarpun pada malam itu kurang sihat, Nora sedaya upaya menyampaikan koleksi lagu berhantunya sehabis baik.
Dapat lihat betapa dia begitu menghargai peluang ini dan memberikan sepenuh jiwa raganya.
Penulis percaya jika malam itu Nora sihat, pasti persembahannya lebih hebat. Namun keseluruhannya, tidak mengecewakan kerana Nora sudah memberikan yang terbaik.
Malah, konsert itu pasti menjadi kenangan paling manis bukan sahaja buat Nora tetapi juga pengikut setianya. – HIGBLAM