Pelakon Terbaik FFM33 milik Beto Kusyairy, Susan Lankester

LAKONAN mantap dalam filem Imaginur memberi tuah kepada aktor Beto Kusyairy apabila dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) yang berlangsung di sini, hari ini.

Beto, atau nama sebenarnya Nur Kusyairy Zakuan Osman, 44, bagaimanapun tidak dapat hadir menerima anugerah kerana terikat dengan penggambaran.

Trofinya diambil wakil yang menyampaikan ucapan bagi pihaknya.

“Dia mohon maaf tidak dapat hadir kerana komitmen penggambaran.

Namun, dia amat berterima kasih kepada semua yang mempercayai bakat dan kerjanya,” kata wakil tersebut.

Kemenangan ini sekali gus menyaksikan Beto menewaskan calon lain seperti Zul Ariffin (Sheriff), Asrulfaizal (Duan Nago Bocho), Shaheizy Sam (Polis Evo 3), dan Chew Kin Wah (Rain Town).

Beto sebelum ini pernah membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM32 menerusi filem Mat Kilau, membuktikan konsistensi dan kehebatannya sebagai aktor versatil.

Trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM33 pula menjadi milik Susan Lankester menerusi filem Rain Town.

Kemenangan itu menepati jangkaan ramai selepas dia meraih anugerah sama di Anugerah Akademi Kreatif Asia 2024 di Singapura baru-baru ini.

Dari filem Mekanik, tempat saya mulakan perjalanan dalam industri perfileman Malaysia, ke filem-filem Aziz M. Osman hingga kini, saya sangat bersyukur dan terharu dengan anugerah ini.

“Terima kasih kepada FINAS, barisan juri, dan seluruh tenaga kerja Rain Town. Kita orang Malaysia,” ucapnya.

Dalam kategori tersebut, Susan mengenepikan saingan daripada Diana Danielle (Imaginur), Nadia Aqilah (Eva), Nabila Huda (Rahsia), dan Chen Keat Yoke (Hungry Ghost Diner).

Trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM33 dimenangi oleh Elizabeth Tan menerusi filem Sheriff, manakala Jack Tan menggondol Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi Abang Adik.

Malam penuh gemilang ini bertemakan EMAS (Evolusi Sinema Malaysia) dengan 104 penyertaan diterima, melibatkan 95 pencalonan dari 64 filem cereka, 20 filem pendek, dan 11 dokumentari.

Setiap pemenang menerima wang tunai RM5,000 bersama trofi, manakala penerima Anugerah Khas membawa pulang RM10,000.

Festival yang meraikan pencapaian filem tempatan ini terus menjadi bukti perkembangan industri perfileman Malaysia ke arah kualiti dan inovasi. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok