Dulu miskin, kini dipuja, kaya raya

MELIHAT kepada gaya hidup idola K-pop, rata-rata percaya status dimiliki selebriti tiket untuk menikmati kehidupan mewah selain mampu menjelajah seluruh dunia.

Kesenangan itu membuatkan ramai orang menyimpan impian untuk bergelar artis semata-mata mahu menikmati gaya hidup serba mewah.

Hakikatnya, selebriti bekerja keras untuk berada di tahap sekarang kerana sebilangan besar bukan dilahirkan dalam keluarga berada.

Justeru, berikut adalah beberapa individu tersohor yang berjaya mengubah kehidupan serba miskin dengan menjadi personaliti terkenal dan kaya.

IU

TIDAK hairanlah, penyanyi IU terkenal dengan sikap suka menderma. Rupa-rupanya, dia pernah melalui zaman kanak-kanak yang sukar.

Difahamkan, keluarga IU atau nama asalnya Lee Ji-eun pernah terjebak dalam masalah hutang.

Disebabkan itu, keluarganya terpaksa tinggal berasingan dan IU serta adik lelakinya dijaga nenek mereka.

Pelakon drama Hotel Del Luna itu terpaksa mendaki bukit besar untuk ke sekolah kerana tiada wang untuk bayar tambang bas dan rumahnya juga dipenuhi lipas.

Namun, IU tidak berputus asa dan berkat kejayaan lagu Good Day, dia dapat melangsaikan hutang orang tuanya.

, Kim Se-jeong

Ketika tampil dalam program realiti Life Menu, penyanyi Kim Se-jeong sempat berkongsi kisah zaman kecilnya yang penuh kedaifan.

Cerita tersebut dikongsikan selepas dia dihidangkan masakan Korea seperti jjajangmyeong dan tangsyuk.

Ketika zaman kanak-kanak, Se-jeong perlu menggunakan kad kebajikan yang disediakan kerajaan untuk membeli hidangan tersebut.

Lee Hyo-ri

SELEBRITI versatil iaitu Lee Hyo-ri merupakan seorang penyanyi, pelakon, pengacara televisyen dan penerbit rakaman.

Sebelum terkenal, dia membesar dalam keluarga yang serba kekurangan.

Dalam sebuah rancangan realiti, Hyo-ri pernah mendedahkan bahawa keluarganya tidak mempunyai wang.

Disebabkan itu, dia tidak dapat masuk tadika atau belajar alat muzik seperti piano dan xylophone.

Jung Eun-ji

Vokalis kumpulan APink iaitu Jung Eun-ji secara terbuka mendedahkan tentang masalah kewangan keluarganya.

Dia menggunakan pendapatan kerja lamanya untuk membayar hutang keluarga termasuk faedah.

Selepas mencapai kejayaan sebagai penyanyi, dia dapat membawa ibunya melancong ke lokasi pelancongan terkenal Korea iaitu Pulau Jeju. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok