Ahmad Nawab selalu bayar saya lebih – Ramli MS

KESEDIHAN berganda, pemuzik terkenal Datuk Ramli MS sekali lagi berdepan khabar duka apabila maestro Tan Sri Ahmad Nawab meninggal dunia selepas pemergian bapa saudaranya, Datuk S Atan.

Kata Ramli, 66, Ahmad Nawab merupakan mentor yang banyak memberikan tunjuk ajar tentang dunia muzik dan amat menyayangi dirinya.

“Saya masih belum habis bersedih, minggu lalu bapa saudara saya meninggal dunia. Kali ini saya kehilangan seorang sahabat yang saya anggap guru.

Arwah Ahmad Nawab mentor saya. Ketika saya mula bertapak dalam industri pada 1981, saya sudah mula bekerja dengan arwah pada 1983. Saya tahu yang dia sangat sayangkan saya.

“Saya bukan hendak bongkak, tetapi memang yakin dia sangat sayangkan saya. Dahulu ketika ingin membuat rakaman, dia akan tunggu saya untuk masuk dalam studio. Dia tidak akan buat rakaman sekiranya saya sibuk. Jika bercakap soal bayaran pun, dia akan bayar saya lebih,” katanya kepada HibGlam yang ditemui dalam konsert minggu pertama Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) semalam.

Tambahnya, Ramli turut menyifatkan Ahmad Nawab sebagai pemuzik genius yang menghasilkan pelbagai karya bersifat mega dan hebat sehingga masih popular sehingga ke hari ini.

Karya arwah semua senang tetapi sampai sekarang orang semua ingat. Kita pejam mata pun tahu itu adalah lagu dia. Identiti arwah dalam menghasilkan lagu sangat mega, sangat kuat,” katanya.

Sementara itu, Ramli turut berkongsi mengenai pembabitan awalnya dalam industri muzik yang didorong oleh arwah bapa saudaranya, Allahyarham Datuk S Atan ketika usia masih remaja.

Pak cik saya (S Atan) adalah orang pertama yang beri saya peluang untuk ke depan (profesional muzik) ketika usia saya 15 tahun. Dia lihat saya ketika umur itu seperti ada sesuatu (kebolehan) yang boleh dikembangkan.

“Peluang yang dia beri itu sangat berat sebenarnya, tetapi dia suruh saya lawan. Kalau tiada tunjuk ajar arwah, saya tiada di sini,” katanya.

Ahmad Nawab meninggal dunia kira-kira pukul 3.15 petang semalam di kediamannya di Gombak, Selangor akibat sesak nafas.

Jenazah dimandikan dan dikafankan di surau Taman Melewar, Gombak dan dikeb Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah pukul 11.15 pagi hari ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok