TERLIHAT bahagia dan sering dipuji sebagai wanita paling bahagia di sisi suami romantis, Diana Danielle mengejutkan banyak pihak apabila memfailkan perceraian buat kali kedua pada 4 November lalu hanya setahun selepas rujuk dengan aktor Farid Kamil.
Biarpun tidak menjelaskan punca permasalahan kali ini, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 33, nekad untuk berpisah. Beberapa hari sebelum memfailkan perceraian, Diana tampil dengan pengumuman terbuka dalam Instagram untuk bercerai dan memberi amaran kepada Farid agar tidak memujuknya.
Dia juga memilih untuk kunci mulut ketika disoal tentang kemelut rumah tangganya, termasuk sebutan permohonan rujuk dan sebutan permohonan perceraian mereka yang dijadual berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Perseketuan hari ini.
“Saya harap apa yang berlaku memberi sinar kepada semua pihak,” katanya ringkas ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta kafe B&G Recipe baru-baru ini.
Biarpun kes perceraiannya masih berjalan di mahkamah, Diana terlihat kuat kerana mampu menjalani kehidupan dan bekerja seperti biasa.
“Sejujurnya, dari dahulu saya katakan saya tidak kuat. Tetapi kekuatan itu datang daripada Allah dan orang sekeliling, terutama anak-anak. Saya cuba positif dan dekatkan diri dengan Allah. Cuma saya tidak mahu cakap lebih, nanti orang kata saya mahu tunjuk baik. Walhal itulah realitinya. Sebagai manusia kehidupan kita ada turun naiknya dan sentiasa harus ingat perkara yang penting dalam hidup iaitu anak-anak, ibu saya dan karier,” jelas Diana.
Memfailkan perceraian buat kali kedua, Diana tidak dapat lari daripada kecaman negatif segelintir pihak yang mempersoalkan tindakannya itu. Namun, selepas 22 tahun bergelar anak seni, bintang filem Imaginur itu mampu tersenyum saat dilontarkan kata nista.
“Sejak awal kemunculan dalam industri saya tidak disambut baik. Sejak saya kecil sehinggalah hari ini, turun naik kehidupan saya semua orang tahu. Sekadar kata-kata orang (kecaman) saya tidak kisah kerana akhirnya kita tidak boleh bergantung kepada pengesahan orang lain,” ujar Diana.
Berpijak di bumi yang nyata, jelas Diana, kritikan membina yang diberikan khalayak akan diambil untuk menjadikan dirinya lebih baik.
“Saya sedar orang ramai tidak boleh sentiasa setuju dengan apa yang saya lakukan. Cuma yang mana relevan dengan hidup saya dan perlu diperbaiki saya akan ambil nasihat mereka,” kata Diana.
Diana juga menolak untuk mana-mana pihak menjadikannya inspirasi sebagai seorang wanita yang kuat. Baginya, kehidupan setiap orang berbeza-beza dan tidak layak untuk diangkat sebegitu sedangkan dia juga masih bergelut kehidupannya.
“Saya tidak mahu menjadi sumber rujukan atau inspirasi. Setiap orang akan melalui fasa hidup yang berbeza dan perjalanan mereka sendiri. Kita harus lakukan sesuatu tindakan atas kapasiti diri sendiri. Saya tidak cuba buat orang terinspirasi atau buat satu gerakan untuk wanita. Tidak, saya tolak perkara tersebut,” jelas Diana
Sebaliknya, Diana kini aktif memberi kesedaran tentang masalah kecelaruan hiperaktif kurang daya tumpuan atau ADHD yang turut dihadapinya.
“Ini bukan tentang saya sahaja yang ada ADHD tetapi saya mahu tingkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat berkenaan pelbagai masalah mental. Saya sering berkongsi tentang perkara ini dalam media sosial dan berharap mereka yang rasa ada masalah mental segera dapatkan rawatan. Jangan biar keadaan bertambah teruk. Sekarang terdapat pelbagai inisiatif kerajaan yang membolehkan pesakit berhubung dengan orang yang pakar tanpa perlu ke hospital jika keadaan terdesak,” tutur Diana.
Berbicara tentang karier seninya, selepas bergelar ibu kepada Muhammad, 11 dan Nur Aurora, 9, Diana mengakui dia bersikap lebih selektif.
Bukanlah sombong jauh sekali menolak rezeki, tetapi komitmen sebagai ibu menyebabkan Diana harus memikirkan banyak perkara sebelum bersetuju untuk terlibat dalam mana-mana naskhah.
“Saya memang bukan orang senang, jadi kerja keras adalah perkara utama. Tetapi apabila saya fikir 30 hari tidak ada bersama anak, saya rasa sangat sedih. Saya tidak mampu tinggalkan anak-anak dalam tempoh yang lama. Jadi, setiap projek lakonan yang saya ambil haruslah berbaloi untuk saya tinggalkan mereka.
“Saya bukan pelakon yang demand, jika produksi tiada bajet saya tidak paksa untuk mereka bayar saya lebih. Saya anggap tiada rezeki untuk bekerjasama. Cuma sekarang saya memilih untuk berlakon dua buah filem atau drama setahun,” katanya yang bakal muncul dengan filem Baran dan Memori tidak lama lagi.
Selain turut aktif dalam nyanyian, rezeki Diana terus mencurah apabila dilantik sebagai duta rangkaian kafe B&G Recipe yang baru ditubuhkan Disember tahun lalu. Dia berbesar hati menerima tawaran tersebut kerana mahu membantu menaikkan jenama kedai kopi tempatan.
“Saya pernah ada kafe dan seorang peminum kopi tegar. Sehari saya boleh minum tiga cawan kopi, jadi selepas merasai sendiri produk B&G Recipe saya suka dengan rasa kopi dan pastri keluaran mereka juga enak. Selepas yakin dengan produk mereka, barulah saya setuju untuk menjadi duta, tambahan kafe ini turut mempunyai sijil halal, jadi saya tidak rasa ragu-ragu,” kata Diana menutup bicara. – HIBGLAM