KESUNGGUHAN Produksi Seni 2020 mengangkat kisah adat dan sejarah masyarakat Sarawak yang menjadi nadi filem Sumpahan Jerunei wajar dipuji.
Naskhah arahan pengarah Jason Chong itu berpaksikan adat bersejarah pengebumian bangsawan kaum penduduk asal asli Sarawak iaitu Melanau. Sejujurnya bagi penulis, kisah sebegini perlu diperbanyakkan agar tidak lapuk dek zaman.
Dari segi jalan cerita, permainan karakter dan tahap keseraman, Sumpahan Jerunei boleh dikatakan berada pada tahap enak ditonton.
Tidak salah berkunjung ke panggung memberi dukungan buat satu lagi karya tempatan yang dihasilkan dengan sepenuh jiwa.
Sungguhpun begitu, ulasan tetap ulasan dan perlu dihuraikan dengan jujur. Sumpahan Jerunei masih banyak kelemahan sebagai sebuah filem.
Kata orang, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Memandangkan Sumpahan Jerunei terlalu banyak babak yang menggunakan teknik janaan komputer (CGI) atau kesan khas (VFX), itulah yang menjadi fokal masalah utama karya ini.
Secara peribadi, penulis melihat sekiranya filem ini fokus menterjemahkan karakter dan naratif secara bersungguh-sungguh tanpa perlu terlalu ‘pusing’ dengan CGI atau VFX, pasti akan jadi berganda-ganda baiknya.
Misalnya, babak Bee lakonan Uqaha yang jasadnya dirasuk roh yang telah dikorbankan di sebuah Jerunei, itu sangat-sangat ‘menyakitkan mata’ untuk dilihat pada era sekarang.
Maaf cakap, tapi itulah realiti permasalahan dalam filem berdurasi 100 minit tersebut.
Sementara itu, barisan pemain yang terlibat dalam naskhah itu bukan calang-calang. Bront Palarae, Ruminah Sidek, Tony Eusoff dan Syafie Naswip, mereka semua bukan pelakon biasa-biasa.
Rasa sedikit janggal dan kecewa apabila keberadaan mereka dalam naratif tidak digunakan seoptimal mungkin.
Kualiti pelakon ‘papan atas’
Bront, Syafie dan pelakon papan atas lain menjalankan peranan sebagai pemain filem dengan sempurna. Boleh dibayangkan ketika di set penggambaran, mereka mencernakan idea dan ‘adlibs’ sendiri berdasarkan lontaran dialog dan bahasa tubuh.
Pelakon lain seperti Uqasha Senrose dan Daiyan Trisha juga tidak kurang hebatnya. Kalau sudah mengambil risiko sampai ‘berkemban’, itu adalah satu pengorbanan cernaan Uqasha yang perlu dihargai.
Daiyan yang melakonkan watak Hana dengan dampak tersendiri. Babak dinodai seseorang dan ‘terjerumus’ dalam selut antara perihal yang masih berbekas dalam fikiran penulis sehingga sekarang.
Impak lain yang ditinggalkan Daiyan termasuklah babak sedang ‘meneran’ sesuatu yang barangkali memungkinkan kesinambungan cerita (maaf, spoiler alert!).
Namun, penulis percaya jika diberikan lebih kebebasan dan kelonggaran serta masa yang lebih, kesemua watak yang dipaparkan dalam Sumpahan Jerunei akan lagi ‘bernyawa’ berbanding apa yang terhasil.
Apa pun, teruskanlah berkarya demi kemajuan filem negara.
Terima kasih dan syabas Produksi Seni 2020 atas usaha menterjemahkan Sumpahan Jerunei yang begitu dekat dengan masyarakat Sarawak, khususnya kaum Melanau. – HIBGLAM