TIDAK dapat dinafikan muzik genre rock mempunyai pengikut tersendiri malah pernah mencetuskan fenomena satu ketika dahulu.
Jika pada era 1980-an dan 1990-an boleh dikatakan muzik rock antara yang mendominasi pasaran muzik tempatan.
Pengaruh muzik rock Malaysia juga pernah menular hingga ke negara jiran. Kumpulan Search contohnya cukup popular di Indonesia, begitu juga Wings. Sehingga kini peminat di Indonesia masih menggilai lagu-lagu daripada dua kumpulan popular itu.
Namun selari dengan peredaran zaman, muzik rock seperti menjauh daripada radar industri muzik Malaysia. Hanya kumpulan otai yang masih bertahan.
Generasi baharu lebih gemar tampil dengan konsep muzik pop mahupun balada yang memenuhi selera muzik masa kini.
Trend tersebut bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga dalam pasaran muzik dunia.
Menyedari hakikat rock semakin dipinggirkan, vokalis Wings, Datuk Awie kekal teguh mempertahan muzik yang dicintainya daripada terus ditelan zaman.
Perjuangan Awie bersama Wings bakal memasuki usia empat dekad pada tahun hadapan. Sudah ada sesuatu yang istimewa direncanakan untuk peminat mereka.
Tetapi tahun ini Awie terlebih dahulu mahu menyemarakkan semangat rock dengan menganjurkan Festival Muzik Rock Warrior yang akan berlangsung pada 23 dan 24 November depan di KL Base Sungai Besi Kuala Lumpur.
Awie berjaya mengumpul dan menggabungkan kumpulan rock tanah air yang terdiri daripada Wings, Search, May, XDPC, Spider , A.C.A.B dan ratu rock , Ella. Tidak dilupakan kumpulan Pop Shuvit yang lebih sinonim dengan lagu bahasa Inggeris.
Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 56, tujuan dia menganjurkan festival ini adalah untuk memastikan generasi baharu di Malaysia kenal muzik rock dan pemuzik- pemuzik yang telah lama berjuang.
“Festival ini adalah peluang untuk generasi baharu menonton dan belajar tentang muzik kita daripada pemuzik-pemuzik yang berpengalaman sejak dari era 1980-an.
“Pemuzik-pemuzik kita adalah hebat dan disegani di peringkat antarabangsa. Ini adalah peluang untuk mereka mengenali pemuzik-pemuzik kita.
“Mereka ini lebih hebat daripada artis-artis luar yang banyak menguasai konsert di Malaysia ketika ini. Saya rasa situasi ini tidak sepatutnya berlaku.
“Saya juga sediakan platform untuk pemuzik-pemuzik baharu untuk ditampilkan dalam festival ini yang akan dipilih oleh kami untuk kita ketengahkan bakat mereka,” katanya.
Tambah Awie lagi, jika festival ini mendapat sambutan ramai dan berjaya, dia bercadang untuk menjadikan festival ini sebagai acara tahunan dan menjemput lebih ramai artis rock termasuklah daripada negara jiran.
Sebagai pejuang muzik rock tanah air, Awie mengakui muzik kecintaannya semakin tenat.
Antara punca kepada situasi berkenaan adalah perpecahan di dalam kumpulan rock sendiri.
“Isu-isu perpecahan dalam kumpulan muzik rock kita daripada satu menjadi dua, menjadi tiga dan akhirnya menjadi tenat. Situasi ini sangat tidak bagus untuk industri.
“Bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini juga agak rumit kerana melibatkan soal peribadi dan masalah dalaman dalam kumpulan itu sendiri.
“Dalam Wings sendiri berlaku perselisihan faham. Orang lain tak tahu apa masalah sebenar. Kami sendiri tidak hebohkan apa sebenarnya yang berlaku. Tak mahu kalau boleh. Apa jua yang berlaku, biar kami selesaikan sendiri.
“Sekarang kami hargai bakat yang ada pada setiap anggota. Kalau boleh kami mahu kekal sehinggalah ke satu tarikh yang dipastikan,” ujarnya. – HIBGLAM