DUA dekad bergelumang dalam kemanisan dan sepak terajang industri hiburan bukan satu tempoh yang singkat buat mana-mana penggiat seni tanah air.
Menelan tenaga yang besar dan memakan masa lama, bohong jika tidak memasang impian menggenggam trofi anugerah dalam lembaran kerjaya seni mereka.
Pastinya, trofi anugerah tidak kiralah dinilai secara profesional mahu pun berdasarkan populariti menjadi idaman semua anak seni.
Perkara itu yang dilalui aktor Aedy Ashraf apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Aktor Filem Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) baru-baru ini.
Aedy atau nama penuhnya, Mohammad Addy Ashraf Rosmadi mengakui perasaannya bercampur-baur ketika diumumkan sebagai pemenang.
“Sebenarnya saya tak tahu nak rasa apa sebab tidak pernah memenangi sebarang anugerah sepanjang berada dalam industri, apatah lagi dinobatkan sebagai aktor popular.
“Namun, saya sangat bersyukur dan gembira kerana mempunyai kelompok peminat yang mengundi tanpa jemu.
“Saingan pula sangat hebat, saya melihat trofi ini sebagai satu rezeki dan sangat bersyukur,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Menerusi kategori sama, Aedy menundukkan pemenang trofi Anugerah Bintang Paling Popular ke-35 iaitu Bell Ngasri dan beberapa nama besar lain seperti Pekin Ibrahim, Kamal Adli dan Syafiq Kyle.
Pelakon drama Budak Tebing itu juga mahu menggunakan kemenangan tersebut untuk menggalakkan generasi muda agar jangan sesekali berhenti berusaha memburu impian.
Baginya, kehidupan hari ini sangat ‘keras’ dan perlu mencari sesuatu untuk memotivasikan diri bagi mencapai hasrat yang diinginkan.
“Kalau suka sesuatu perkara, fokus, kerja keras dan berikan sepenuh jiwa pasti anda akan mampu mencapainya.
“Dalam kisah saya, trofi ini mengambil masa selama 24 tahun untuk dimiliki. Lebih dua dekad menunggu dan bekerja untuk meraihnya.
“Kepada generasi muda yang baru bekerja selama tiga hingga lima tahun tetapi sudah merungut, teruskan cari motivasi diri,” tuturnya.
Dalam masa sama, anak kepada pelakon senior Liza Zain itu mahu mendedikasikan kemenangan tersebut kepada setiap individu yang tidak pernah lelah menyokong kerjaya seninya sejak kecil.
“Trofi ini saya tujukan kepada mana-mana individu yang sentiasa percaya dengan bakat seorang Aedy Ashraf berbanding saya yakin dengan diri sendiri.
“Ini untuk anda semua, terlalu ramai untuk disenaraikan,” katanya lagi.
Dalam masa sama Aedy juga menegaskan tidak salah untuk anak seni generasi muda memiliki angan-angan untuk menggenggam mana-mana trofi anugerah di peringkat lebih tinggi.
“Angan-angan itu sangat penting dan tidak salah untuk memilikinya.
“Teruskan bermimpi dan hasilkan sebuah impian setinggi mungkin, pergi mengejarnya,” katanya.
Tambah bintang filem Tebus itu, setiap individu harus memiliki impian paling tinggi dan sebaliknya.
“Angan-angan itu percuma dan bodoh kalau kita mempunyai sasaran hanya pada peringkat rendah.
“Namun, setinggi mana pun mimpi itu, kalau ditakdirkan kita gagal mencapainya dan hanya berjaya menggapai pada tahap tertentu, itu sudah cukup baik serta Alhamdulillah,” tuturnya lagi. – HIBGLAM