‘Tiket mahal? Kami tak boleh selalu nak infak kudrat’

LIMA dekad berkelana sebagai anak seni, figura bernama Fauziah Ahmad Daud tidak lagi perlu diperkenalkan.

Kemunculannya dalam mana-mana drama, filem mahupun tampil sebagai hos atau pengkritik sebarang acara sering dinanti ramai. 

Masakan tidak, setiap watak dan tugasan yang dipertanggungjawabkan kepadanya pasti dilunaskan dengan cemerlang meskipun sedar akan dihujani kebencian ramai.

Baginya, perkara tersebut normal dan perlu dilalui seseorang pelaku seni, apatah lagi ketika ini era digital yang semuanya berlaku begitu pantas.

Melihat ada hos bertelagah dalam media sosial hari ini juga adakala membuatkan aktres berusia 61 tahun itu berasa kurang senang.

Media sosial

Bagi selebriti yang mesra disapa Ogy, sikap segelintir selebriti memilih media sosial sebagai medium berkongsi kisah ‘dalam kain’ dan melondehkan aib sendiri bukan satu tindakan yang harus dinormalisasikan.

Bintang filem Azura itu berkata, sebarang kemelut sebaik-baiknya diselesaikan secara profesional dan usah terlalu mengikut emosi.

“Mengapa perlu dihebohkan dalam media sosial sekiranya sesuatu konflik itu boleh diselesaikan secara peribadi atau profesional.

Sebagai seorang pelakon, saya tahu dan simpan banyak cerita dalam kain melibatkan pihak produksi tetapi tidak pernah muat naik dalam media sosial. Itu prinsip saya sejak dahulu,” katanya kepada HibGlam.

Terbuka berkongsi pengalamannya menjadi hos, Ogy berkata, situasi usik-mengusik atau menjadikan rakan hos sebagai bahan jenaka adalah perkara biasa namun perlulah berbincang terlebih dahulu. 

Seperti satu nasihat, Ogy berkata, pengacara yang mengendalikan sesebuah rancangan perlu menjalankan tugas tersebut secara profesional dan bukannya membahan individu lain mengikut kehendak hati tanpa memikirkan sensitiviti.

Di luar negara, situasi membahan individu lain adalah perkara biasa yang berlaku tetapi dengan keizinan tuan badan.

“Sebagai contoh, dahulu saya pernah mengacarakan sebuah rancangan bersama Salleh Yaakob, kami saling membahan. Namun, di belakang pentas kami berbincang dahulu.

“Kami tidak main sembur secara semberono atau menukar cara lain secara tiba-tiba. Mengacara atas pentas juga memerlukan kerja berpasukan,” ujarnya.

OGY mahu menggali punca permasalahan masyarakat ketika ini termasuk perilaku narsistik dan keganasan rumah tangga.

‘Semua pakai topeng’

Melanjutkan bicara, dengan jiwa yang berkobar-kobar, Ogy berkongsi bakal muncul dengan sebuah pementasan teater Di Sebalik Topeng pada 19 dan 20 Oktober ini.

Mengangkat tema berat iaitu kesihatan mental, scammer dan narsistik, Ogy berkata, karya berkenaan merupakan antara pementasan teater yang paling mencabar pernah dilakukan.

Diarahkan oleh sutradara Zainorhisyam Samudin, teater itu menggunakan latar belakang sesi terapi sebagai medan untuk menyingkap kisah setiap watak yang penuh dengan rahsia.

“Teater ini bakal membawa penonton menyelami kisah seorang wanita bergelut dengan masalah kesihatan mental yang mendapati dirinya terperangkap dalam konflik emosi mendalam.

Jalan ceritanya tentang sebuah sesi terapi kumpulan dengan menghimpunkan beberapa individu yang cuba melepaskan diri daripada trauma dan beban hidup masing-masing.

“Saya ingin penonton rasa dan selami bahawa mereka tidak bersendirian dalam setiap perkara yang dihadapi,” katanya lagi.

Kongsinya, setiap individu di dunia ini memakai topeng demi kelangsungan hidup dan mencari titik kedamaian diri. 

“Semua orang ada topeng hidup mereka sendiri tetapi mereka perlu belajar membukanya dan menerima realiti serta diri sendiri.

Sepanjang pementasan itu nanti, penonton akan diingatkan bahawa kesakitan emosi adalah sebahagian daripada kehidupan yang perlu diatasi, bukan disembunyikan,” tuturnya yang akan bertemu dan mengutip ilmu dengan pakar berkaitan kesihatan mental.

Dalam masa sama, dia juga mahu mencari punca di sebalik semua permasalahan  berlaku di dunia ketika ini termasuk perilaku narsistik, keganasan rumah tangga dan sikap netizen yang semakin hari semakin menggila.

“Saya nak gali punca dan mencari iblis jenis apa yang menghasut manusia sehingga menjadi seorang narsistik.

Teater ini bukan sekadar hiburan sebaliknya satu wadah untuk kita merenung diri dan memahami erti kekuatan dalam menghadapi ujian hidup,” katanya yang teruja bakal bergandingan dengan pelakon Gibran Agi menerusi pementasan tersebut.

Sempat mengulas mengenai harga tiket yang dikatakan mahal, Ogy menegaskan jalan cerita teater tersebut adalah organik selain diharap dapat membuka mata masyarakat terhadap kepentingan kesedaran terhadap masalah kesihatan mental yang semakin membimbangkan mutakhir ini.

“Bagi saya, tidak mengapalah mahal, kita perlu fikir pelbagai aspek. 

Kita bukan hanya perlu membayar mereka yang terlibat dalam pementasan sahaja. Kita juga ada pasukan pemasaran yang harus dibayar kerana mereka bekerja keras mempromosikan teater ini kepada orang ramai,” kongsinya lagi.

Tidak melatah, dia turut menegaskan, harga yang diletakkan berbaloi bagi  menampung segala kos dan kudrat pihak yang terlibat dengan pementasan itu.

“Semua itu perlu diambil kira dan tak seharusnya dijadikan isu.

Sebagai pemain teater, kami tidak boleh selalu infak kudrat kami,” jelasnya mengakhiri bicara.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok