PELAKON veteran Datuk Jalaluddin Hassan mendedahkan pernah didakwa mencemarkan nama baik keluarga kerana melakukan babak bersentuhan dengan wanita sewaktu awal pembabitan dalam industri.
Kongsi Jalaluddin, 70, insiden yang berlaku sekitar tahun 1990-an itu menyebabkan dia berasa takut untuk berdepan dengan Allahyarham bapanya iaitu Tan Sri Hassan Azhari bagi mendapatkan kebenaran menjadi pelakon.
“Apabila babak bersentuhan dengan wanita itu ditayangkan, adik-beradik arwah ayah menghubungi dia dan mengatakan saya ini telah memalukan nama baik keluarga dan keturuan Azhari.
Mereka kata apa hendak jadi dengan saya, suruh belajar tidak mahu. Hendak jadi P.Ramlee, tahu tidak nanti hendak mati pun susah,” katanya,
Pelakon drama Nur itu menceritakan pengalaman ketika awal pembabitannya sebagai anak seni dalam audio siar Dol’s Podcast.
Biarpun minatnya ditentang keluarga, Jalaluddin Jalaluddin bagaimanapun berusaha mencari jalan memujuk bapanya agar merestui pilihannya untuk menjadi pelakon.
“Waktu itu saya fikir bagaimana hendak buktikan bahawa saya ingin jadi pelakon. Jadi, saya selalunya akan picit ayah saya.
Walaupun pada waktu itu umur saya sudah pertengahan 30-an, saya pergi bertemu dengan arwah ayah dan tetap memicit badannya selama tiga jam bermula pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.
“Kemudian saya maklumkan kepada ayah yang saya akan ke set penggambaran pada pukul 1 pagi. Waktu itu ayah bertanyakan kepada saya sama ada benar-benar ingin jadi pelakon atau tidak? Saya katakan ya dan dia menasihati agar tidak tinggal solat biarpun sibuk menjalani penggambaran,” katanya.
Tambah Jalaluddin, kenangan dan kata-kata arwah bapanya itu masih diingati dan menjadi pegangan hingga ke hari ini.
Saya ingat kata-kata itu sampai sekarang. Kata-kata kasihan dengan saya kerana orang lain tidur saya perlu bekerja. Dia juga kata jangan pernah lupa solat kerana kasihan kerja penat-penat tetapi tidak mendapat berkat,” katanya,
Terdahulu, Jalaluddin memulakan kerjaya lakonan sekitar tahun 1990-an dan dipercayai sudah membintangi lebih 100 filem, drama serta telefilem. – HIBGLAM