Duyung: Legenda Aurora mendunia, ada versi bahasa Inggeris, Indonesia

SELEPAS 16 tahun, KRU Studios, 8 Bit Studios dan Primeworks Studios kini bekerjasama menghasilkan sekuel naskhah yang penuh nostalgia, Duyung yang diberi judul Duyung: Legenda Aurora.

Filem genre komedi romantik fantasi tersebut menampilkan kemunculan semula Puteri (Duyung) yang memohon bantuan Jimmy untuk menyelamatkan anaknya, Aurora daripada ditangkap kumpulan pukat tunda haram.

Selaku pengarah, Dr. A. Razak Mohaideen mengakui banyak permintaan berhubung kesinambungan filem terbabit dan beliau optimis tahun hadapan masa paling tepat untuk ditayangkan.

Razak berkata, pelbagai cadangan diterima untuk menghasilkan karya terbaik demi kepuasan penonton.

“Sejak mencapai kutipan pecah panggung tertinggi untuk filem Duyung, ramai sering bertanyakan kesinambungan filem ini dan kami rasa ini adalah masa tepat untuk sekuelnya.

Filem ini akan menggandingkan pelakon lama dan baharu. Di samping mengetengahkan Anna Jobling sebagai anak duyung, akan ada juga watak duyung lelaki yang mewarnai cerita ini.

“Segala komen dan cadangan daripada peminat telah diambil kira agar filem ini digarap lebih berwarna-warni serta mempunyai keistimewaannya tersendiri,” katanya semasa sidang akhbar filem berkenaan baru-baru ini.

RAZAK mengubah lokasi penggambaran dari Semporna ke Langkawi selepas memikirkan beberapa faktor termasuklah tuntutan skrip.

Semporna ke Langkawi

Kali ini, banyak kelainan yang akan diketengahkan memandangkan pihak produksi menukar lokasi penggambaran di Langkawi memandangkan lautan di sana seakan-akan di Semporna, Sabah.

“Dahulu penggambaran dibuat di Semporna tetapi sekarang kami pilih menjalani penggambaran di Langkawi atas beberapa sebab dan kehendak skrip.

Sebelum ini kami paparkan Jimmy dan Aspalela yang tinggal di rumah atas air tetapi kini sudah bertukar menjadi pemilik resort mewah.

“Kami juga sudah buat ‘homework’ untuk kenal pasti dasar laut di sana dan mendapati air di Langkawi ada persamaan dengan Semporna,” ujarnya lagi.

Penggunaan AI

Sementara itu, penerbit eksekutif iaitu Datuk Norman Abdul Halim turut memaklumkan, kelainan filem Duyung kali ini adalah mempunyai beberapa versi untuk pasaran luar negara.

Mengenai teknologi, kami buat kajian dan pembangunan semasa menggunakan (kecerdasan buatan) AI terutama sekali dalam penyegerakan bibir (lip sync) dan dubbing.

“Selain mahu hasilkan versi bahasa Inggeris kami juga mahu buat bahasa Indonesia menggunakan suara pelakon asal.

Kami mahu pastikan ada penonton baharu untuk pasaran serantau. Banyak filem kita yang berjaya di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

NORMAN selaku penerbit eksekutif memaklumkan Duyung: Legenda Aurora mempunyai tiga versi iaitu dalam bahasa Melayu, Inggeris dan juga Indonesia bagi meluaskan lagi pasaran ke luar negara.

Dalam masa sama, ahli kumpulan KRU itu mengambil masa lama menghasilkan sekuel Duyung kerana memberi tumpuan kepada perniagaannya iaitu Wetland Studios Putrajaya.

“Selepas beberapa tahun memberi tumpuan kepada perniagaan lain seperti taman tema Wetland Studios Putrajaya, KRU kini ingin kembali aktif dalam penerbitan filem.

KRU memilih francais filem ini sebagai projek pertama kerana  bukan sahaja sesuai dengan jenama KRU yang terkenal dengan filem kekeluargaan tetapi mengandungi mesej tersirat berkaitan pemuliharaan alam sekitar sepertimana yang diselitkan dalam filem Duyung 16 tahun lalu,” tuturnya.

Duyung: Legenda Aurora memulakan penggambaran pada 13 September lalu sehingga 13 Oktober depan.

Filem yang dibintangi Anna Jobling, Maya Karin, Saiful Apek, Ayie Floor 88, Yasmin Hani, Yassin Senario, Datuk Yusry Abdul Halim, Nadia Brian, kumpulan Zero, Aniq Aqil, Aidilia Hilda dan A. Shukoor Mohaideen itu bakal menemui penonton pada suku ketiga 2025.

Duyung pernah  memenangi Anugerah Khas Box Office pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM 21). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok