Kalau lekat, lekatlah – Syafie Naswip

Baru sembilan bulan mendirikan rumah tangga, pelakon Syafie Naswip mengakui tiada tekanan untuk menimang cahaya mata sebaliknya menyerahkan rezeki mendapatkan zuriat kepada Allah.

Kata Syafie atau Muhammad Syafie Naswip, 32, dia dan isteri juga tidak pernah mengamalkan perancangan keluarga, jauh sekali mengikut trend segelintir pasangan muda yang enggan memiliki cahaya mata
atau ‘childfree’.

“Kami ikut sahaja aturan Allah, ‘just go with the flow’. Tiadalah stres atau apa. Kalau ada lekat (anak), lekatlah.

“Saya dan isteri memang tak rancang apa-apa pun (soal anak) sebab dari sebelum berkahwin lagi dah berbincang mengenai anak.

“Siapa yang tak mahukan zuriat? Anak juga pengikat kasih sayang. Tak terdetik pun nak ikut trend (childfree), tapi itu pilihan masing-masing,” katanya ketika ditemui pada sidang media filem Gayong, baru-baru ini.

Mengenai perjalanan hidup selepas bergelar suami kepada Nur Afiqah Ishak, aktor terbabit bersyukur dikurniakan teman hidup yang sangat memahami.

Namun katanya, keterbukaan isteri tidak dijadikan lesen untuk mengaut sahaja semua watak atau sanggup melakukan babak mesra mengikut permintaan skrip.

“Isteri saya memang bagi lampu hijau, bahkan setakat ini tidak menetapkan sebarang syarat cuma sebagai suami saya kena tahu batas untuk diri sendiri.

“Kita sendiri boleh tahu kehendak sesuatu babak sama ada ‘over’ atau tidak. Sebelum kahwin mungkin boleh buat lagi babak bersentuhan tapi sekarang berhati-hatilah.

“Bukan apa, banyak kemelut rumah tangga di luar sana. Saya tak mahu terpalit masalah kepada kita kalau tak jaga batas. Jadi kita jaga mana yang patut,” ujarnya.

Mengenai filem Gayong yang juga genre epik mengenai tokoh silat terkenal, katanya penggambaran naskhah terbabit bakal bermula 5 Oktober depan.

Akuinya, dia bertuah dapat berada satu layar dengan barisan pelakon hebat termasuk Beto Kusyairy, Nabila Huda dan aktor Indonesia Yayan Ruhian.

“Alhamdulillah, rezeki selepas kahwin memang banyak. Saya bersyukur terus dapat kepercayaan rumah produksi termasuk naskhah epik sejarah Gayong.

“Apabila dapat bersama ramai pelakon hebat, tentu sahaja saya juga terkena tempias aura luar biasa mereka sekali gus membuatkan kita juga bersemangat untuk berikan hasil sebaik mungkin,” katanya.

Gayong yang dijadualkan menjalani penggambaran selama dua bulan dijangka menemui khalayak pada Mei 2025. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok