TARIKH keramat 16 September yang diraikan sempena memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia menyaksikan kemasukan Sabah dan Sarawak pada 1963 merupakan detik bersejarah yang turut disambut dengan besar jiwa tiga selebriti tanah air, Nadia Brian, Shweta Sekhon dan Thompson Goh.
Berpegang kata kunci penyatuan, tiga anak seni itu kekal yakin Hari Malaysia tetap sebuah keraian yang menyemai 1,001 makna baik dari segi pemikiran mahu pun tingkah laku masyarakat.
Penyatuan penuh makna
Bagi pelakon Nadia Brian, dipayungi keamanan dan utuhnya kedaulatan bumi Malaysia, tiada lain yang berbutir daripada bibir si cantik itu selain bersyukur dengan segala nikmat dikecapi hari ini.
Hari Merdeka mahupun Hari Malaysia, kedua-dua tarikh keramat itu disambut pemilik nama sebenar Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu dengan penuh bangga bersulam semangat kecintaan terhadap ibu pertiwi.
Ujar wanita berusia 33 tahun itu, Hari Malaysia merupakan lambang penyatuan yang menjadi simbolik buat khalayak termasuk dia dan keluarga yang bersatu hati menyemai benih kecintaan kepada negara.
“Dalam konteks situasi negara sekarang ini, kata kuncinya adalah bersyukur, saya bersyukur tanah air kita masih aman dan makmur, bukan semua negara dapat rasai nikmat itu apatah lagi dengan penyatuan Sabah Sarawak, lagi bermakna semua itu.
“Jujurnya, saya dan keluarga memang sambut Hari Merdeka dan Hari Malaysia sama meriah macam Hari Raya. Kami akan berkumpul satu keluarga, pakai cantik-cantik dan ada makan-makan.
“Nampak tak di situ bukan negeri sahaja bersatu, malah hubungan keluarga juga. Kami ada main kuiz dan uji pengetahuan masing-masing tentang fakta negara kata.
“Kalau salah ada hukuman, andai menang ada hadiah. Itu semua kenangan terindah buat saya,” jelasnya kepada HibGlam.
Bukan sekadar omong kosong, semangat patriotisme si ‘Ratu Kala Jengking’ itu tidak hanya bermusim, dia sentiasa mengangkat kayanya budaya tanah air dengan menggayakan busana hasil kreativiti orang lokal.
Tidak malu, Nadia, malah berbesar hati dapat mempersembahkan kekayaan tradisi negara Malaysia menerusi busana dengan harapan mata orang luar terbuka luas dek kagum dengan apa yang mereka tiada.
“Macam saya, saya memang suka dengan budaya dan perpaduan negara kita, sebab itu saya selalu pakai baju batik, kadang-kadang saya suka juga kumpul kain-kain dari Sabah dan Sarawak untuk dijadikan baju kurung.
“Tiada istilah malu dengan budaya kita sendiri, tanah air kita satu-satunya yang mempunyai kaum berbilang bangsa. Itu belum lagi suku kaum di Sabah dan Sarawak lagi, memang kita kaya dengan budaya.
“Paling penting, dalam pada berbilang kaum pun, kita tetap bersatu teguh dan tidak pernah berbalah antara satu sama lain. Kerukunan itu sebenarnya sangat penting dan menjadi nilai tambah buat negara kita,” tuturnya panjang lebar.
Suntik semangat patriotisme
Menyedari kemudahan teknologi yang barangkali penuh propaganda kadangkala mampu menghakis jati diri anak muda, wanita kelahiran Kangar, Perlis itu berharap agar lebih banyak filem berkaitan Hari Malaysia yang sarat pengajaran diterbitkan.
“Saya tidak nafikan, dengan media sosial yang semuanya di hujung jari, minda kita semakin dijajah. Sebab itu disiplin dan jati diri itu sangat penting bagi masyarakat terutama anak muda.
“Cadangan saya, kena ada lebih banyak lagi filem berkaitan Hari Malaysia, saya kira banyak lagi sisi kebersamaan dan penyatuan yang perlu ditonjolkan.
“Mungkin tidak semua orang tahu apa sebenarnya simbolik Hari Malaysia.
“Apa pun, pada akhirnya semuanya berbalik kepada diri sendiri, perlu ada rasa cinta akan negara, kalau tidak melalui ucapan setidaknya menerusi perbuatan.
“Tepuk dada tanya selera, apa yang kita patut buat sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Paling utama ujar Nadia, lihatlah betapa peritnya saudara di Palestin yang sanggup bermati-matian untuk mendapatkan tanah mereka, nikmat apa lagi yang mahu didustakan.
Asimilasi tradisi
Bagi si cantik yang memegang mahkota kemenangan Miss Universe Malaysia 2019, Shweta Sekhon, 26, sambuan Hari Malaysia bukan sekadar hari cuti umum yang kebiasaannya diraikan secara tahunan pada setiap 16 September.
Ini kerana membesar dalam suasana masyarakat berbilang kaum setiap hari membuatkan pemilik nama lengkap Shwetajeet Kaur Sekhon menyifatkan Hari Malaysia sebagai satu sambutan untuk variasi warna budaya yang ada di negara ini.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita semua saling mempunyai kacukan budaya dan gaya hidup dalam menjalani kehidupan seharian. Kita saling menerapkan budaya dan tradisi kaum antara satu sama lain.
“Tanpa mengira bangsa, kita semua saling mempelajari adat resam, budaya dan tradisi setiap seorang daripada kita.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya berasa sangat bertuah kerana mempunyai rakan-rakan yang mempunyai latar belakang budaya berbeza.
“Apabila membesar bersama secara tidak langsung kita dipengaruhi sifat orang bangsa lain.
“Perkara itu seperti sudah seperti darah daging apabila ada perbuatan dalam masyarakat lain yang turut saya amalkan.
“Sebagai contoh apabila ingin berjalan di hadapan orang yang lebih tua, saya akan membongkokkan sedikit badan dan meletakkan sebelah tangan ke bawah.
“Selalu amalan begitu dilakukan orang Melayu, tetapi disebabkan sudah terbiasa melihat kawan-kawan buat, saya juga terikut,” kongsinya seraya ketawa ceria.
Biarpun berketurunan Punjabi, namun keluarga Shweta sangat menitikberatkan pertuturan dalam bahasa Melayu. Sejak kecil ibunya memandang serius terhadap kebolehan berbahasa Melayu.
Boleh dikatakan setiap hari dia perlu menonton drama Melayu semata-mata untuk mempelajari sebutan dan gaya pertuturan bahasa kebangsaan itu, sekali gus kedengaran tidak kekok.
“Sewaktu bersekolah, ibu memang paksa untuk menonton drama Melayu. Bukan sahaja untuk faham gaya sebutan, tetapi boleh mempelajari kosa kata baharu dan mempelajari bagaimana ingin menyebut assalamualaikum.
“Apabila berjaya mengucapkan salam itu seperti satu pencapaian luar biasa lebih-lebih lagi apabila berkunjung ke rumah kenalan berbangsa Melayu.
“Membesar dalam kejiranan Melayu membuatkan saya secara tidak langsung membuatkan saya terpengaruh dengan beberapa amalan dan tradisi.
“Ibu pesan kalau ingin fasih dan bergaul dengan masyarakat lain, kami perlu fasih bahasa Melayu. Selain membantu dalam pelajaran terutama subjek Bahasa Melayu, punca saya suka tengok drama ketika itu kerana berminat dengan Aiman Hakim Ridza dalam drama Vanila Coklat,” kata si bongsu daripada dua bersaudara itu.
Tidak hanya itu, kepelbagaian budaya masyarakat tempatan turut menjadi kebanggaan Shweta tatkala pertandingan di pentas ratu cantik peringkat antarabangsa.
Shweta menjadikan semangat perpaduan kaum sebagai kekuatan buat dirinya sekali gus mendabik dada kerana dapat menjalani kehidupan secara harmoni biarpun berbeza kepercayaan dan budaya.
“Tidak dinafikan setiap hubungan itu ada jatuh bangunnya, tetapi walau apa pun terjadi kita tetap bersama.
“Pada saya sebagai rakyat kita, semua perayaan kita raikan bersama dan itu saya katakan ketika menyertai Miss Universe Malaysia,” tuturnya yang bakal muncul dengan filem Keluang Man tahun depan.
Rai kepelbagaian etnik
Berkongsi keterujaan yang sama, pelakon filem Kahar: Kapla High Council, Thompson Goh mengakui berbangga dengan kemakmuran negara yang bertunjangkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Sebagai anak jati Bumi Kenyalang, jejaka asal Kuching itu berharap perpaduan antara kaum, termasuk dengan banyak etnik dan suku kaum di Sarawak dan Sabah terus dieratkan menerusi pelbagai aktiviti dua hala bersama penduduk Semenanjung Malaysia.
“Kita adalah anak Malaysia tidak asal Semenanjung mahupun Borneo, keteguhan sesama rakyat mampu mengukuhkan sesebuah negara.
“Jadi apabila 16 September setiap tahun diraikan untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia pada tarikh sama seperti tahun 1963, kita wajar berbangga.
“Secara peribadi saya teruja dan berharap kemakmuran ini terus berkekalan dan seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan etnik mampu memelihara keharmonian ini,” katanya.
Tambah pelakon tinggi lampai itu, di Sarawak kedekatan antara kaum sama ada Melayu, Cina dan etnik lain membuktikan semangat penyatuan sejagat.
Pelakon yang awalnya dikenali sebagai pempengaruh media sosial itu mengakui membesar dalam suasana masyarakat yang penuh kebersamaan terutama ketika meraikan hari perayaan. Semua itu kenangan indah yang dipertahankan untuk generasi akan datang.
“Di Sarawak boleh dikatakan semua perayaan kami rai bersama-sama, termasuk hari keraian suku kaum termasuk Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau dan minoriti lain.
“Biarpun bersekolah di Kuala Lumpur (KL) sejak tingkatan lima sebelum menyambung pengajian peringkat ijazah dan kemudian bekerja di ibu negara, musim perayaan adalah sesuatu yang saya nantikan untuk pulang ke kampung.
“Memang suasana di Kuala Lumpur juga meriah, cuma dari segi kebersamaan itu wajar dieratkan lagi terutama elakkan perbezaan ideologi politik menjurangkan kebersamaan.
Apa pun saya yakin ramai yang memilih mengeratkan semangat setia kawan dan kebersamaan apabila senario ini dapat kita lihat di kedai mamak, minum teh tarik sambil berborak,” ujarnya.
‘Team’ Kapla bekerjasama
Pada masa sama, anak muda berbangsa Cina yang fasih berbahasa Melayu itu turut berbesar hati diterima dengan tangan terbuka apabila kali pertama terjun ke layar perak.
“Semua pelakon termasuk Amir Ahnaf dan Aedy Ashraf banyak membantu saya menjiwai watak Li biarpun saya hanya bakat baharu. Ini juga contoh baik dalam industri perfileman kerana semua penggiat bersatu padu.
“Selepas ini saya bersedia mencabar diri untuk membawakan karakter atau genre lain, “ tambah bakat yang dilahirkan daripada program Hero Remaja itu.