Sandra Lim ungguli Miss Universe Malaysia 2024

MENEPATI ramalan ramai, Sandra Lim telah dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2024 menewaskan 15 lagi pesaingnya dalam acara yang berlangsung pada malam tadi.

Gadis berusia 23 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur ini merupakan Naib Juara Miss Global 2022 yang berlangsung di Indonesia.

Berbekalkan pengalaman yang ada, tidak sukar untuk graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa ini untuk meraih mahkota Miss Universe Malaysia sekali gus menjadi wakil negara di pertandingan Miss Universe yang akan berlangsung di Mexico November depan.

Gelaran naib juara pula disandang Gianna Tan manakala tempat ketiga pula menjadi milik Temara Inigo.

Sandra (tengah) bakal mewakili Malaysia ke pertandingan Miss Universe 2024 di Mexico.

 

Memiliki ketinggian 175cm serta rauh wajah yang mulus dan jelita, Sandra berjaya menawan hati barisan juri yang terdiri daripada Kavita Sidhu, Fizi Woo, Oscar Ong, Jane Teoh, Mandy Ong dan Datin Wira Livonia Ricky Guing.

Sandra beraksi cemerlang dalam ketiga-tiga segmen bermula dengan pakaian renang, gaun petang dan sesi soal jawab.

Untuk sesi gaun petang, Sandra memukau dalam persalinan gaun biru rekaan pereka fesyen dari Vietnam, Minh Tuan Couture dan memenangi anugerah ‘Best In Evening Gown’.

Anggun dalam gaun petang rona biru.

Sandra sewaktu ucapannya selepas bergelar juara berkata, perjalanan yang harus ditempuhi tidak mudah seperti yang disangka.

“Sejujurnya saya menangis selepas diumumkan sebagai pemenang. Perjalanan dalam pertandingan ini tidak mudah.

Dua hari sebelum minggu pertandingan berlangsung, saya alami kecederaan di kepala. Kepala saya terhantuk di atas jalan sewaktu menjalani penggambaran.

“Saya agak risau jika ada sebarang kesan sampingan yang akan mengganggu perjalanan saya dalam pertandingan ini. Tetapi bersyukur kerana semuanya berjalan lancar,” katanya.

Tambah Sandra lagi, dia tidak sabar untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa sekali lagi dan akan bekerja keras untuk memastikan Malaysia berjaya menembusi peringkat Top 30.

Sepanjang 72 tahun sejarah penganjuran Miss Universe, hanya sekali Malaysia layak bolos ke peringkat Top 15 iaitu pada tahun 1970 menerusi Josephine Lena Wong.

Tahun ini bakal menyaksikan 130 buah negara mengambil bahagian dalam Miss Universe 2024 menjadikan edisi kali ini sebagai edisi yang paling ramai peserta bertanding.

Syarat untuk menyertai Miss Universe juga telah diubah sejak organisasi diambil alih oleh usahawan trasgender yang berasal dari Thailand, Khun Anne Jakrajutatip pada tahun 2022.

Kini tiada had umur yang ditetapkan oleh setiap peserta. Malah wanita yang sudah berkahwin dan bergelar ibu juga boleh turut serta. Transgender juga turut dibenarkan untuk menyertai pertandingan ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok