‘Tiada apa yang dikejar, syukur semuanya’

MEMPUNYAI pesona dengan pakej lengkap menerusi gabungan rupa dan bakat, ramai mengenali figura tampan bernama Afgan.

Tidak hanya gah di Indonesia, karier pemilik nama sebenar Afgansyah Reza itu turut bersinar di persada muzik antarabangsa hasil deretan kolaborasi yang mencuri perhatian peminat muzik.

Setakat ini, Afgan sudah bekerjasama menerusi beberapa buah lagu bersama penyanyi asal Korea Selatan seperti Jackson Wang, Jessi dan B.I yang sudah tidak memerlukan pengenalan panjang.

Enggan hanya fokus ke arah industri muzik K-pop, anak seni berusia 35 tahun itu juga gigih mengintai peluang membolosi pasaran negara lain.

Saat mengejar misi melangit, pasti perlu pengorbanan lebih besar apabila perlu meninggalkan tanah tumpah darahnya, Indonesia, contohnya jika ingin ke Amerika Syarikat (AS), Jepun mahupun England.

SAYANGKAN karier di Indonesia, Afgan tidak enggan berhijrah keluar dari negara tumpah darahnya. Dia rela berulang alik atau berkampung sementara sekiranya ada projek di luar negara.

Enggan berhijrah

Tidak semudah perancangan, lelaki berusia 35 tahun itu mengakui tidak pernah terdetik mahu berhijrah ke luar negara. Dia terlalu sayangkan kerjaya kukuh di Indonesia selain lebih rela berulang-alik ke mana-mana kota luar negara jika ada tuntutan sebarang projek.

“Sukar sebenarnya kalau mahu benar-benar menetap di negara orang dan pindah dari Indonesia. Kalau cuma luangkan masa dua ke tiga bulan, kemudian pulang ke Indonesia, saya masih boleh lakukan.

“Saya masih percaya bahawa Indonesia zon paling selesa buat saya. Untuk jangka masa pendek, bolehlah. Kalau jangka masa panjang, belum terfikir.

“Lagi pula, di negara saya sendiri pun terlalu banyak kerja yang belum diselesaikan,” katanya kepada HibGlam.

Berkongsi pengalaman bekerja bersama pemain seni luar negara, figura berlesung pipit itu mengakui pengalaman dilalui menjadi anjakan dan pembelajarannya sebagai anak seni.

“Semuanya memberi pembelajaran. Berjaya membikin album di luar negara, bekerjasama dengan penerbit dari England atau AS, pasti cara kerja mereka berbeza.

“Mereka ada budaya bekerja yang berlainan dan kayakan lagi ilmu saya mengenai proses membikin muzik.

“Bekerja dengan artis antarabangsa pun sebenarnya terdapat cabarannya juga.

“Saya perlu berkomunikasi dengan mereka dalam zon waktu berbeza. Mereka pun ada kesibukan masing-masing, ada cara pemikiran berbeza buat kerja mereka. Hal itu mengajar saya untuk jadi lebih fleksibel,” tuturnya serius.

SIBUK dengan kerjaya, Afgan mengakui semakin tiada masa untuk diri sendiri sehingga belum berkesempatan mengambil cuti panjang untuk berehat mahupun melancong di luar negara.

Paling penting kata penyanyi kelahiran Jakarta itu, segala pengalaman mengukuhkan keyakinan dari segi kemampuan diri dan memberi pendapat menerusi sudut pandang tersendiri.

“Pengalaman itu juga membuatkan saya lebih memahami orang lain. Memang membuka mata saya dan pada masa sama meningkatkan lagi keyakinan diri untuk jadi lebih jujur dalam menulis lagu, lirik, serta melodi.

“Saya ini kalau ikutkan seorang yang pemalu. Tapi kini saya lebih berani dan yakin untuk tegakkan idea lagu saya.

“Pengalaman sebegitu memang sangat banyak membantu,” jelasnya.

Tiada masa untuk diri sendiri

Sarat dengan aktiviti seni selain tidak menang tangan menyambut kerjasama dengan artis antarabangsa, hakikatnya pelantun lagu Panah Asmara itu semakin kekurangan masa untuk diri sendiri.

“Kebelakangan ini, saya tidak punya masa untuk diri sendiri. Terlalu banyak perlu diusahakan dan tak putus bekerja. Misalnya memikir perancangan apa lagi rencana ke depan.

“Memang masih ada juga hari berehat dalam seminggu itu. Tapi saya cuma lakukan rutin-rutin biasa. Memang tiada masa untuk melancong dan berehat pun. Saya di Jakarta saja namun apa yang saya perlu buat adalah sentiasa mensyukuri rezeki pemberian Allah.

“Saya buat aktiviti kecergasan, luang masa bersama keluarga dan anak-anak buah. Saya cuba pastikan diri dikelilingi dengan orang yang positif. Agak membosankan sebenarnya,” kongsinya sambil ketawa.

BANYAK bekerjasama dengan pemain seni luar negara, Afgan menyifatkan pengalaman bernilai tersebut sebagai satu pembelajaran untuk lebih matang dan yakin dalam meneruskan kelangsungan kariernya.

Ditanya apa lagi yang dikejar seorang bernama Afgan, dia tersenyum seraya menegaskan, sudah tiada apa lagi yang mahu dikejarnya.

Dia percaya pada rezeki yang telah diaturkan Tuhan dan hanya menjalaninya dengan penuh kesyukuran.

“Tak ada apa yang dikejar, apa yang ada di depan saya, saya bersyukur dan lakukan yang terbaik. Saya harus ikhlas bekerja dan dalam hal apa pun biarlah kita berniat baik. Insya-Allah kita semua ada jalan masing-masing.

“Kalau fikir mahu mengejar sesuatu, memang susah untuk puas kerana selepas satu perkara, boleh jadi kita mahu yang lain pula dan seakan-akan tiada kesudahan,” katanya.

Konsert

Bercerita mengenai persembahan akan datang termasuk di Malaysia, Afgan sekali lagi bakal beraksi dengan penyanyi senegaranya Lyodra Ginting menerusi Konsert Ada Afgan & Lyodra Live in Kuala Lumpur pada 28 September ini.

Bertempat di Mega Star Arena, Afgan dan Lyodra bakal menyajikan penonton dengan 20 lagu dalam durasi dua jam 30 minit. Mereka diiringi 12 pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia.

“Saya dan Lyodra pada awalnya bersama-sama mencari lagu yang sesuai untuk dinyanyikan berdua, tapi tak jumpa. Sampai akhirnya, saya diingatkan soal lagu, Ada yang saya tulis tiga tahun lalu.

“Saya perdengarkan kepada Lyodra dan dia langsung suka. Ternyata, lagu tersebut lebih bagus dibawakan berdua. Siapa sangka bermula daripada situ dan berakhir dengan konsert di Malaysia.

“Lyodra adalah duet yang layak bergelar diva dan saya amat teruja untuk berkongsi panggung dengannya nanti. Banyak keistimewaan yang bakal kami tampilkan untuk penonton nanti,” ujarnya menutup bicara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok