LIMA tahun berdepan keganasan domestik, pempengaruh Indonesia, Cut Intan Nabila pernah menyimpan harapan untuk melihat perubahan sikap Armor Toreador menjadi suami yang lebih baik.
Kata ibu yang masih berpantang anak ketiga itu, setiap kali dipukul dia tetap memberikan peluang lagi bahkan menyimpan kemas tindakan ganas suami terhadap dirinya.
Saya selalu bergelut dengan fikiran dan hati saya kerana yakin bahawa dia boleh berubah suatu hari nanti,” katanya pada kenyataan yang dibuat semalam.
Bekas atlet lawan pedang Indonesia itu muncul kali pertama dalam laman sosialnya selepas enam hari rakaman video dipukul suami tular sehingga meraih jutaan tontonan.
Menurut Cut Intan atau selesa disapa Intan, kemunculannya adalah untuk memohon maaf atas kekecohan dicetuskan disebabkan pendedahan mengenai penderaan tersebut.
Katanya, dia berharap kejadian yang menimpanya itu dapat dijadikan iktibar buat mangsa lain mahupun insan terdekat agar pantas mengambil tindakan segera.
Kes ini masih berjalan mengikut prosedur. Saya berharap seluruh masyarakat Indonesia dapat mengambil pengqjaran dari kes saya agar tidak lagi berulang isu keganasan rumah tangga seperti yang saya lalui,” katanya.
Pada kenyataan sama, Intan yang melahirkan anak ketiga secara pembedahan pada 24 Julai lalu turut menzahirkan terima kasih kepada semua pihak terutama polis Bogor untuk menyiasat kes penderaan domestik yang dilaluinya.
Terima kasih banyak kepada Kapolres Bogo beserta jajarannya, dan kepada peguam dari Lembaga Advokasi Hukum Indonesia Raya DPP serta seluruh masyarakat Indonesia yang membantu saya.
“Terima kasih telah memberikan semangat, empati dan sokongan terhadap saya dan keluarga,” ujarnya.
Sebelum itu rakannya berkongsi detik syahdu menunjukkan momen ayah kepada Intan datang dari Band Acheh untuk bertemunya yang ditempatkan di sebuah hotel selepas Armor ditahan polis.
Lelaki lewat usia 60-an itu dilihat hanya mampu menitiskan air mata melihat lebam pada tubuh puterinya yang masih dalam pantang itu akibat dipukul suami.
Sebelum ini Intan tidak pernah mendedahkan penderaan domestik dilaluinya termasuk dengan keluarga sendiri.
Terdahulu, wanita terbabit memuat naik rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di bilik mereka yang membongkar kekerasan dilakukan Armor selepas ‘tertangkap’ menonton filem dewasa.
Perkara tersebut mengundang kemarahan ramai kerana ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat dandadan rambut itu turut sengaja menendang bayi mereka yang baru berusia 22 hari.
Armor yang dipercayai melarikan diri ke Jakarta selepas videonya memukul isteri tular dicekup polis pada hari sama laporan dibuat Isnin lalu. – HIBGLAM