Pesona Lyodra, ‘Next diva of Indonesia’

BUKAN mudah membina nama sebagai penghibur terkenal. Semua itu memerlukan usaha berganda dan semangat juang berterusan.

Itu yang acapkali keluar daripada mulut penyanyi muda, Lyodra meskipun khalayak maklum bakat nyanyian yang dimilikinya cukup luar biasa.

Mula mencipta nama selepas menjuarai pertandingan realiti Indonesia Idol musim ke-10 pada 2020, pemilik nama lengkap Lyodra Margaretha Ginting itu sudah mencipta sejarah sendiri.

Dalam pertandingan tersebut, si cantik kelahiran Medan, Sumatera Utara, Indonesia itu dijulang selaku pemenang termuda Indonesian Idol iaitu ketika usianya 17 tahun.

Kariernya mewangi dengan deretan lagu hits sehingga Lyodra mendakap kejayaan, sekali gus menepis omongan nakal mengatakan juara pertandingan realiti pasti mudah tenggelam.

LYODRA pernah menjuarai pertandingan Festival Sanremo Junior di Itali pada 2017 dalam kategori usia antara 13 hingga 15 tahun.

Membuktikan kemampuan, pucuk muda 21 tahun itu meraih pelbagai trofi anugerah dan membuka luas mata khalayak menerusi kualiti bakatnya sehingga sering dijuluk ‘Next diva of Indonesia’

Sedar pujian menggunung, Lyodra bersyukur namun dalam masa sama masih berasakan diri terlalu jauh untuk mencapai status itu apatah lagi hayat kariernya masih terlalu hijau.

“Saya hargai semua persepsi orang. Saya masih lagi baru dah tidak berasa sudah mencapai tahap diva Indonesia.

Walaupun ramai orang cakap begitu, saya tidak mudah selesa. Apa pun saya tetap akan terus memperbaiki diri baik dari segi personaliti mahupun teknik nyanyian agar semuanya makin bertambah maju.

“Saya percaya untuk sampai ke level itu memerlukan usaha keras dan jam terbang yang lama,” katanya kepada HibGlam ketika singgah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sedikit tertekan dengan ekspektasi peminat, wanita tinggi lampai itu mengakui kadangkala pujian melampau kadangkala menakutkan andai satu hari nanti tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

“Pujian itu kadang-kadang boleh memberi tekanan sebab itu adalah sebuah ekspektasi orang.

Saya memilih untuk menjalani sahaja karier ini tanpa memikirkan semua itu kerana macam saya cakap sebelum ini, kalau fikir boleh jadi tekanan dan itu tidak bagus untuk karier saya.

“Kata kuncinya sekarang adalah tetap produktif dan sentiasa mencuba hal-hal yang baharu, di luar zon selesa saya bukan sahaja nyanyian tetapi juga persembahan,” ujarnya serius.

MENGAKUI awalnya seorang yang ‘introvert’, Lyodra terpaksa melawan rasa itu sejak menjadi artis.

Enggan berlama-lama dalam topik diva, penulis sempat bertanyakan pendapat Lyodra mengenai perbandingan dirinya dengan penyanyi seperjuangan seperti Mahalini dan Tiara Andini.

Enggan berselindung, pelantun lagu Sang Dewi itu mengakui rimas apabila setiap kali persembahannya sering dibandingkan dengan penyanyi lain.

Begitupun, dia enggan terlalu ambil pusing memandangkan setiap netizen berhak berkata apa sahaja.

“Saya akui memang ada rasa rimas, pasti setiap manusia tidak suka dibandingkan. Bukan hanya penyanyi sahaja, pemain industri juga pasti berasakan perkara sama.

Misalnya kalau saya baca komen, sudah macam tiada benda lain mahu diceritakan, mesti ada sahaja perbandingan. Memang merimaskan.

“Tetapi saya ingatkan diri saya bahawa pendapat orang itu masing-masing. Mereka berhak komen apa sahaja, tinggal lagi saya mahu terkesan ataupun tidak dengan respons sebegitu,” jelas Lyodra yang teruja dapat bergandingan dengan idolanya menerusi konsert Afgan & Lyodra Live In Kuala Lumpur pada 28 September nanti.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok