AMYRA mengakui sokongan keluarga banyak memberinya kekuatan untuk kekal mendepani matlamat berkarier demi keberkatan rezeki.
“Saya mempunyai sistem sokongan yang baik iaitu keluarga, suami dan anak-anak. Mereka ini menjadi pembakar semangat saya untuk kekal positif.
“Tidak mengira sama ada baik atau buruk, jatuh bangun saya, keluarga banyak memberi sokongan dan mereka juga sumber kekuatan saya untuk terus kekal bertahan,” ujarnya bersemangat.
Pekak telinga
Begitu juga ketika namanya tersenarai dalam barisan artis boikot kononnya masih menjalin kerjasama dengan produk yang dikatakan menyokong kekejaman ke atas Palestin
Tidak mudah melatah, Amyra lebih senang mendiamkan diri dan tidak mempedulikan komen negatif yang menunjang ke dadanya.
Baginya, mereka yang menggunakan kata-kata negatif dan meninggalkan komen buruk mempunyai masalah dengan kehidupan sendiri.
“Saya pernah dikritik teruk ketika mula menjadi pengacara sekitar tiga tahun lalu. Mungkin mereka hendak melihat atau menduga sama ada saya akan melatah atau tidak.
“Sejujurnya saya memang tidak ambil peduli komen negatif dan hanya membiarkan saja kerana jika diperiksa mereka ini menggunakan akaun palsu dan tidak menunjukkan identiti pun, malah tidak membuat sebarang perkongsian.
“Saya anggap golongan yang suka kecam orang ini bermasalah dengan diri mereka sendiri.
“Saya pula tiada masalah dan tiada keinginan pun untuk ambil hati atau menangis dengan kata-kata mereka,” ujar pelakon drama Bunga Salju itu.
Berbanding menyesakkan kepala dengan omongan orang, dia lebih senang fokus kepada keluarga. Baginya, melayan atau membalas kata-kata kurang enak tidak mendatangkan faedah.
Bintang Nur itu bagaimanapun tidak menafikan, sejak awal kemunculannya 13 tahun lalu, dia antara selebriti bebas kontroversi dan tidak mudah melenting dengan kritikan.
“Kritikan membina, saya ambil secara positif dan pembelajaran. Kalau teguran melibatkan kekurangan, saya akan perbaiki diri tidak mengira sama ada kualiti lakonan atau pengacaraan.
“Saya akan berusaha untuk memberikan yang terbaik sehingga pembenci tidak tahu apa lagi yang ingin diperkatakan tentang saya.
“Lagi pun sejak dahulu lagi khalayak kurang mengkritik saya. Mungkin kerana saya sendiri tidak terlalu berkongsi hal peribadi kepada umum sehinggakan mereka tidak tahu hendak mengata apa,” katanya sambil berseloroh.
Prioriti
Biarpun sibuk menguruskan kerjaya seni lakonan dan pengacaan, hos Nona tidak melupakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
Katanya, setiap masa terluang akan dihabiskan dengan keluarga dan anak-anak. Sebab itu juga membuatkan Amyra agak kurang ‘berteman’ mahupun bersantai ‘kopi-kopi’ bersama rakan artis.
“Konsep kerja saya mudah iaitu habis saja kerja terus balik rumah. Habis saja penggambaran, semuanya ditinggalkan di set dan saya akan fokus kepada tanggungjawab di rumah pula.
“Bukan bermaksud saya tidak mahu berkawan dengan artis lain atau berbaik dengan sesiapa, tetapi kerana di rumah ada banyak perkara yang hendak difikir.
“Kesibukan jadual kerja dan masa yang lama di set penggambaran membuatkan saya tidak mahu melepaskan waktu-waktu terbaik melihat anak membesar depan mata.
“Seboleh-bolehnya masa yang ada itu saya ingin gunakan untuk bersama keluarga kerana mereka adalah orang paling penting dalam hidup saya,” jelasnya.
Sering menghabiskan masa melakukan aktiviti riadah dengan anak-anak secara tidak langsung membuatkan hubungan Amyra dekat dengan dua cahaya matanya iaitu Aqeef Anaqi Amar, 6, dan Ayra Aryssa Amar, 4.
Katanya personaliti berbeza antara Aqeef dan Ayra membuatkan keluarganya lebih berwarna-warni.
“Anak sulung agak pendiam dan mudah beralah dengan adiknya. Mungkin juga kerana dia abang, jadi sifat tanggungjawab menjaga adik itu ada.
“Dia juga lebih banyak memerhati berbanding berinteraksi terutama dengan orang yang baru jumpa. Berbeza dengan Aryssa yang sangat peramah dan aktif.
“Dia juga suka menyanyi dan menari. Walaupun umurnya baru empat tahun, tetapi dia sangat gemar mengajak pergi karaoke dan boleh dikatakan dia juga punca kami suka berkaraoke,” katanya.
Kesetiaan Nona
Seronok bercerita tentang keluarga, Amyra turut bersyukur jodoh bersama Nona masih panjang biarpun sudah tiga tahun mengendalikan rancangan majalah ikonik tersebut.
Wajahnya yang dapat dilihat pada setiap hujung minggu menerusi rancangan Nona, membuatkan khalayak tidak melupakan keberadaannya dalam industri.
Katanya, setelah sekian lama membuat penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, pihak produksi mula mengatur strategi bagi melakukan anjakan.
“Dalam sedar tidak sedar, sudah lebih tiga tahun saya bersama Nona. Syukur rezeki dengan mereka itu masih panjang dan kini produksi mula membuat sedikit perubahan dengan mengadakan penggambaran di luar kawasan Kuala Lumpur.
“Beberapa lokasi seperti Port Dickson dan kampung nelayan di Terengganu menjadi antara destinasi. Sebenarnya itu lebih dekat dengan jiwa saya.
“Walaupun orang melihat saya agak lemah lembut, tapi sebenarnya saya juga meminati aktiviti lasak. Bagi saya ini satu pengalaman baharu yang boleh dianggap sebagai sekolah untuk memahirkan diri sebagai pengacara,” katanya bersungguh-sungguh.
Pengalaman juga membekalkan Amyra satu persediaan untuk meneroka pendekatan pengacaraan berbeza pada masam hadapan.
“Apabila ada peluang saya cuba untuk mengutip sebanyak mungkin skil dan pengetahuan. Saya terbuka menerima tawaran pengacaraan rancangan berbeza konsep dengan Nona. Tetapi sebelum itu berilah saya membuat persediaan secukupnya.
“Kalau boleh saya ingin melakukan perkara yang saya benar-benar bersedia. Bukan takut dikecam, tetapi bimbang akan mengecewakan orang yang beri kepercayaan jika saya gagal buat yang terbaik,” tuturnya. – HIBGLAM