MESKI ramai menyatakan hasrat ingin melihat wajah anak pelakon Neelofa dan Haris Ismail, pasangan romantik itu mengakui selesa tidak mendedahkannya kepada umum.
Kata Haris atau nama lengkapnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 29, dia dan isteri tidak mempunyai perancangan untuk mempamerkan wajah anak mereka terutama dalam media sosial.
Bagaimanapun Haris tidak menafikan wajah anak-anaknya lama-kelamaan akan diketahui apabila dihantar ke sekolah.
“Macam mana pun, kita akan hantar dia ke sekolah dan ramai juga orang akan tengok. Cuma kami tidak tonjolkan wajah mereka dalam media sosial.
“Kami selesa dengan cara begini. Kalau ada yang ingin lihat, satu hari nanti mereka akan nampak juga,” katanya.
Sementara itu, Neelofa turut bersetuju dengan tindakan mengaburi wajah anaknya terutama ketika memuat naik gambar dalam media sosial.
“Saya selesa begini. Bahkan saya juga gembira tidak mempamerkan wajah mereka.
“Biarpun ada orang yang sudah melihat wajah Bilal (anak pertama), saya tetap kaburkan gambar mereka. Saya suka begitu,” jelasnya.
Pada Oktober 2022, Neelofa pernah berkongsikan wajah putera sulungnya dalam media sosial berikutan berang dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengubah muka anaknya itu sehingga mendapat komen negatif.
Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga pada 26 Mac 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Bilal, 3, dan Abdullah Abbas yang kini berusia setahun. – HIBGLAM